| Pembeli gelisah rumah lewat 
      disiapkan Berita Harian 11/06/2002
 
 SERDANG, Isnin-Seramai 1,369 pembeli unit kedai apartmen dan pangsapuri 
      kos sederhana di Seksyen 5 , Serdang Perdana dekat sini, berharap projek 
      pembangunan yang terbengkalai sejak November lalu, dapat diteruskan 
      semula,secepat mungkin.
 Ahli Dewan Undangan Negeri 
      (Adun) Seri Kembangan ,Datuk Liew Yuen Keong ,berkata projek berkenaan 
      terpaksa ditangguhkan berikutan syarikat induk pemaju , Hiap Aik 
      Construction Bhd menghadapi masalah kewangan , menyebabkan projek itu 
      terpaksa diambil alih oleh Pengurusan Danaharta Nasional Bhd ( Danaharta ) 
      iaitu agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus aset bermasalah. Katanya ,Danaharta perlu menyelesaikan masalah pembeli 
      dengan segera bagi mengelakkan kerugian kerana mereka (pembeli) terpaksa 
      membayar faedah bagi pinjaman perumahan kepada institusi kewangan , 
      walaupun projek itu kini tertangguh. “Projek ini dimulakan pada Julai 1998 dan semua unit 
      sepatutnya siap dan diserahkan kepada pembeli akhir tahun lalu, tetapi 
      kini tujuh bulan sudah berlalu dan unit kedai apartmen dan pangsapuri 
      masih belum siap. “Saya sudah menghantar surat kepada pemaju, Green 
      Crescent Resources Sdn Bhd , Disember lalu meminta menjelaskan status 
      sebenar projek berkenaan dan sebulan selepas itu pemaju memberitahu bahawa 
      mereka akan meneruskan semula projek pada Mac 2002. “Tetapi malangnya, notis dikeluarkan pada 2 April lalu, 
      menyatakan semua urusan berkaitan syarikat induk pemaju akan dikendalikan 
      oleh dua pengurus khas yang sudah dilantik oleh Danaharta. Kedua-dua pengurus ini bertanggungjawab melantik pemaju 
      baru bagi meneruskan semula projek terbengkalai ini, “katanya pada 
      pemberita selepas meninjau tapak projek itu di Seksyen 5 , Serdang Perdana 
      di sini, hari ini. Beliau berkata , keseluruhan projek yang membabitkan 
      1,369 unit kedai apartmen dan pangsapuri kos sederhana hanya siap antara 
      80 hingga 85 peratus. Katanya , daripada jumlah itu , sebanyak 857 unit adalah 
      kedai apartmen dan selebihnya , dua pangsapuri kos sederhana masing-masing 
      membabitkan 192 unit dan 320 unit , bernilai antara RM68,000 hingga 
      RM249,000. Liew juga meminta pembeli membentuk jawatankuasa baru 
      kerana ia akan memudahkan mangsa terbabit menyuarakan masalah yang 
      dihadapi kepada Danaharta dan pemaju baru yang akan dilantik bagi 
      memulihkan semula projek berkenaan. “Selepas berbincang dengan lebih 50 pembeli ini, saya 
      meminta mereka membentuk jawatankuasa baru .Saya juga akan mengadakan 
      pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan 
      Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Danaharta dan dua pengurus 
      khas itu,” katanya. |