| 880 Pembeli rumah teraniaya
     08/05/2002 HM  SHAH ALAM: Seramai 880 pembeli rumah di USJ19, Subang Jaya, mendakwa 
    dianiaya kerana terpaksa membuat bayaran untuk projek perumahan terbengkalai 
    sejak lapan bulan lalu.
 Mereka juga mendakwa dilayan secara kasar oleh pemaju selain terpaksa 
    menanggung risiko diisytiharkan muflis oleh institusi kewangan.
 Penasihat Undang-undang Persatuan Pengguna Subang Jaya & Shah Alam (Cassa), 
    Datuk Dr Jacob George, berkata projek itu menimbulkan persoalan selepas 
    pembeli keliru apabila pihak bank menuntut bayaran balik pinjaman walaupun 
    pembinaan sudah dihentikan sejak lapan bulan lalu.
 "Pihak bank memburu pembeli kerana mereka menandatangani perjanjian yang 
    mana pemaju berjanji akan membayar faedah pinjaman bank," katanya.
 Projek apartmen mewah yang dijalankan oleh pemaju, Sanjung Utama Sdn Bhd (SUSB) 
    dihentikan sebulan selepas pembeli menandatangani perjanjian jual beli pada 
    Ogos lalu.
 Siasatan Cassa juga mendapati SUSB adalah sebuah syarikat berdaftar, 
    manakala pelan projek yang dirancangkan di USJ19 itu sudah mendapat 
    kelulusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
 Dr Jacob berkata, syarikat berkenaan sudah menuntut kira-kira RM127.89 juta 
    daripada Arab-Malaysian Finance Berhad hingga memaksa pembeli rumah membayar 
    kira-kira 95 peratus daripada kos sebenar walaupun rumah belum siap.
 "Sehubungan itu pembeli terbabit mahu Bank Negara dan Lembaga Arkitek 
    Malaysia menjalankan siasatan terhadap pemaju.
 "Kami mahu pemaju disiasat berkaitan pembayaran balik pinjaman dan mengapa 
    arkitek tetap mengeluarkan sijil pengesahan sedangkan pembinaanya sudah 
    dihentikan," katanya.
 Menurutnya, ramai pembeli rumah menerusi projek itu kini disenaraihitamkan 
    dan diburu pihak bank kerana gagal membayar faedah seperti dipersetujui 
    sebelum ini.
 Katanya, Cassa dan pihak pembeli juga akan membuat laporan polis bagi 
    meminta bantuan daripada Bahagian Jenayah Komersial Bukit Aman agar 
    menyiasat bank berkaitan kelulusan pinjaman kepada pemaju yang hanya 
    berdasarkan kepada surat Lembaga Arkitek sahaja.
 "Cassa mahu pihak bank berkaitan tidak memburu pembeli atau tangguh buat 
    sementara waktu bayaran ansuran sehingga Bank Negara, Lembaga Arkitek dan 
    polis selesai menjalankan siasatan," katanya.
 |