Pemilik kondo tunggu sijil hak 
      milik strata 10 tahun 
      Harian Metro 21/09/2001 
       
      KUALA LUMPUR: Seramai 675 pemilik unit di Kondominium Palm Court di 
      Brickfileds, di sini, kesal dengan sikap pemaju yang melengah-lengahkan 
      pemberian sijil hak milik strata.Pengerusi 
      Persatuan Penduduknya, B Muralidharan, berkata pihaknya terpaksa menunggu 
      sijil itu lebih sepuluh tahun dan meminta jasa baik Timbalan Menteri 
      Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk M Kayveas untuk membantu 
      menyelesaikan masalah itu. 
      "Kegagalan mendapatkan sijil berkenaan menyebabkan 
      pemilik mengalami pelbagai kesulitan yang berkaitan dengan jual beli dan 
      proses pindah milik," katanya selepas taklimat media di Pusat Bandar 
      Damansara, semalam. 
      Menurutnya, ramai pemilik mengalami kerugian kerana 
      pemaju mengenakan satu peratus daripada jumlah harga rumah yang dipindah 
      milik atau dijual sebagai bayaran pengurusan. 
      Setiausaha Persatuan, P Thiru, berkata pemilik juga 
      mengalami masalah kerana pemaju bertindak menaikan bayaran penyelenggaraan 
      tanpa berunding dengan persatuan penduduk. 
      "Mereka tidak merujuk kepada kami sebelum membuat 
      keputusan itu dan tidak memperlihatkan sebab mengapa mereka harus 
      menaikkan bayaran berkenaan," katanya. 
      Menurutnya, sejak menduduki kondominium berkenaan pada 
      1989 pemaju hanya mengenakan RM75 sebagai bayaran penyelenggaraan dan 
      meningkatkannya kepada RM100 pada 1995 dan RM120 tahun ini   |