Pemaju anggap pindaan akta terlalu tegas
						29/09/2001 Berita Harian  
						KUALA LUMPUR, Jumaat – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyifatkan cadangan Pindaan 
						Akta Pemaju Perumahan (kawalan dan perlesenan) 1966 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan, terlalu ‘tegas’. 
						Justeru, Presidennya, Datuk Eddy Chen Lok Looi, berkata beliau akan menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan 
						Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, terlebih dulu bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan. 
						“Buat masa ini, kita belum mengetahui secara mendalam mengenai cadangan berkenaan dan tidak dapat memberi 
						sebarang ulasan. Bagaimanapun cadangan itu terlalu tegas dan kita akan berjumpa dengan Menteri sebelum cadangan berkenaan dibentangkan di Parlimen,” 
						katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 
						Semalam, Berita Harian melaporkan cadangan pindaan akta itu antara lain menjuruskan pemaju projek perumahan 
						yang gagal mematuhi terma perjanjian, termasuk gagal menyiapkan projek mengikut jadual, boleh didenda sehingga RM500,000 selain premis perniagaan 
						digeledah bagi mendapatkan bukti untuk tujuan dakwaan. 
						Mengumumkan mengenai cadangan pindaan itu, Ong berkata, antara lain ia bertujuan mengekang kegiatan penipuan 
						membabitkan pemaju perumahan. 
						Malah jumlah aduan terhadap pemaju meningkat daripada 737 kes pada 1997 kepada 1,823 kes tahun lalu. 
						Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata Rehda 
						seharusnya bersetuju dan menyambut baik cadangan pindaan itu kerana selain mengutamakan pembeli, ia memberikan dorongan kepada pemaju supaya lebih 
						jujur. 
						“Cadangan pindaan itu harus dijadikan dorongan kepada pemaju untuk bekerja lebih keras, cekap serta amanah. 
						Jika tindakan tegas tidak dikenakan terhadap pemaju (yang menipu), usaha meminda akta bagi melindungi pembeli menjadi sia-sia dan pemaju akan 
						sewenang-wenangnya menipu pembeli. 
						“Peningkatan jumlah pemaju yang tidak amanah dan menepati kehendak pengguna semakin meningkat setiap tahun 
						dan sudah tiba masanya pemaju dikenakan syarat lebih ketat, tambahan pula rumah yang dijual dibayar harganya oleh pembeli sebelum ia siap 
						sepenuhnya,” katanya. 
						Prof Hamdan berkata, pada masa sama, kementerian perlu terus memastikan pengguna tidak dibebankan dengan 
						harga rumah yang semakin meningkat kesan cadangan pindaan berkenaan (seperti mengenakan denda atau bayaran deposit lebih tinggi). 
						“Pembeli juga perlu mengetahui mengenai proses membeli rumah supaya tidak tertipu dengan iklan yang disiarkan,” 
						katanya.  |