| 
     Pemaju gagal siap projek 
    ditegur  
    09/04/2001 Berita Harian 
     
    Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menegur sikap sesetengah pemaju kerana 
    gagal menyiapkan projek kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan. 
     
    Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan 
    pelbagai masalah kepada kerajaan, malah pihak yang akan mendapat faedah 
    daripada projek itu. 
     
    Beliau memberi contoh kelewatan pemaju menyiapkan projek perumahan Polis 
    Diraja Malaysia (PDRM) Desa Aman Fasa Satu di Pantai Dalam dekat sini, 
    menyebabkan 360 anggota polis terpaksa menunggu lebih dua tahun sebelum 
    dapat menduduki rumah berkenaan. 
     
    “Sebab itu saya rasa orang macam ini (pemaju yang menyebabkan projeknya 
    terbengkalai) patut diambil tindakan kerana kecuaian dalam melaksanakan 
    tanggungjawab yang diberi kerajaan,” katanya selepas merasmikan perumahan 
    PDRM Desa Aman fasa pertama di Pantai Dalam di sini, petang ini. 
     
    Projek pembinaan 360 unit pangsapuri 12 tingkat untuk pegawai polis 
    berpangkat inspector itu, pada mulanya dilaksanakan oleh Langkah Bakti Sdn 
    Bhd (LBSB) selepas menandatangani kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) 
    pada 12 Jun 1995. 
     
    Bagaimanapun, projek bernilai kira-kira RM34 juta itu tidak dapat disiapkan 
    dan terbengkalai sejak 1997. 
     
    Pada Ogos 1997, Amona Permodalan Sdn Bhd (APH), syarikat induk Kumpulan 
    Amona mengambil alih LBSB. Pengambilan saham majority dalam LBSB adalah 
    untuk menghidupkan dan menyiapkan projek fasa pertama yang terbengkalai. 
     
    Projek fasa pertama pangsapuri kos sederhana itu, hanya disiapkan dan 
    mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF) pada 8 Ogos tahun lalu. 
     
    Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga yang juga Ahli Parlimen 
    Lembah Pantai, Datuk Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Polis Negara, Tan Sri 
    Norian Mai; Timbalannya, Datuk Jamil Johari; Ketua Setiausaha KDN, Datuk 
    Aseh Che Mat dan Pengerusi Kumpulan Amona, Datuk Mohd Noor Yusof. 
     
    Pada majlis sama, Shahrizat menyerahkan replica kunci kepada wakil 60 
    pemilik tanah yang terbabit dalam projek perumahan anggota polis itu. 
     
    Mengulas tindakan syarikat besar bukan Melayu, termasuk yang disenaraikan di 
    Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bersaing dengan syarikat milik Bumiputera 
    untuk mendapatkan projek kerajaan, Abdullah berkata keadaan itu berlaku di 
    mana-mana apabila peluang yang ada semakin berkurangan. 
     
    Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat menghalang keadaan itu daripada 
    berlaku. 
     
    “Yang pentingnya saya percaya kepada pihak yang akan buat penentuan. 
     
    Jika setakat kerja kecil, kalau syarikat kecil boleh buat, takkan dia akan 
    dihalang daripada mengambil projek seperti itu hanya kerana nak bagi 
    syarikat besar… tak semestinya begitu. 
     
    “Jangan menganggap bila nampak saja syarikat besar masuk dialah yang akan 
    sapu… tak begitu,” katanya. 
     
    Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, PDRM sedang menyiapkan laporan 
    terperinci mengenai kejadian pergaduhan di Kampung Medan dan sekitar Jalan 
    Klang Lama bulan lalu. 
     
    Beliau berkata, laporan itu sudah datang kepada saya melalui pegawai polis 
    di Bukit Aman. 
     
    “Saya rasa adalah bagus jika laporan itu dapat disiapkan lebih awal. 
    Bagaimanapun, kita perlu mengkaji laporan itu terlebih dulu dan memahaminya 
    untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan pada masa sama kita dapat 
    mengelak kejadian itu berulang,” katanya. 
     
    Pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Kampung Medan bulan lalu menyebabkan 
    enam orang terbunuh. Berikutan kejadian itu, polis menahan hampir 200 orang 
    untuk disoal siasat. 
     
    Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, laporan yang sedang 
    disiapkan itu boleh menjadi asas kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) 
    untuk mengadakan bedah siasat bagi mengesan kelemahan dan kekurangan dalam 
    beberapa perkara, termasuk mengendalikan perhubungan awam, media dan 
    masyarakat. 
     
    Beliau berkata, pihak berkuasa juga ingin mengetahui bagaimana khabar angin 
    mengenai kejadian pergaduhan itu boleh merebak dengan cepat, kesannya dan 
    bagaimana untuk mengawalnya pada masa depan. 
     
    Abdullah bagaimanapun, tidak pasti bila laporan itu akan diumumkan. 
     
    Mengenai tindakan sekumpulan nelayan Indonesia mengancam menyerbu bangunan 
    Konsulat Malaysia, di Jalan Diponegoro, Medan, Abdullah berkata, menjadi 
    tanggungjawab Kerajaan Indonesia memastikan keselamatan kedutaan asing. 
     
    “Kita juga ada tanggungjawab yang sama. Saya harap duta atau pegawai 
    kedutaan kita akan melaporkan perkara ini kepada Kerajaan Indonesia,” 
    katanya. 
     
    Nelayan terbabit berkumpul dan mengancam untuk menyerbu bangunan Konsulat 
    Malaysia bagi membolehkan 39 nelayan dari republik itu yang masih ditahan 
    pihak berkuasa di Langkawi, dibebaskan.
  |