Bela nasib pembeli rumah 
       
      Harian Metro 11/02/2001 
       
      Kisah rumah yang dibeli tidak siap-siap dan pembelinya terpaksa menanggung 
      hutang bank sudah kerap tidak dengar. Apabila kaki sudah lengoh naik turun 
      pejabat pemaju bertanya bila rumah akan siap, ramai pembeli mengalih 
      pandangan mereka kepada media untuk menagih simpati pihak tertentu 
      memperjuangkan nasib mereka.Kadang kala rintihan 
      mereka itu menyayatkan hati. Apa tidaknya apabila terpaksa terus tinggal 
      menyewa dan dibeban pula dengan bayaran bulanan kepada bank ke atas rumah 
      separuh siap yang kini tenggelam dalam semak samun. 
      Saban tahun anak bertambah ramai dan kos menyara 
      keluarga bertambah besar menyebabkan bayaran bulanan pinjaman rumah yang 
      tidak siap itu menimbul masalah besar kepada sesebuah keluarga. 
      Rumah adalah perkara asas dalam kehidupan. Sebab itu 
      mereka yang berkeluarga sanggup menempuh apa saja keperitan untuk membeli 
      rumah agar mereka mempunyai tempat berteduh yang tetap demi kesejahteraan. 
      Justeru apabila laporan kerajaan mengenalpasti 493 
      projek perumahan bernilai RM15 bilion terbengkalai di seluruh negara, kita 
      mula sedar ia sebenarnya masalah serius dan membabitkan ramai orang. 
      Ini kerana sudah menjadi lumrah kebanyakan rumah yang 
      dibina memang sudah ada pembelinya. Justeru itu kita boleh bayangkan 
      betapa ramai pembeli yang berdepan nasib malang kerana rumah mereka tidak 
      siap untuk tempoh lama. 
      Walaupun masih ramai pemaju yang mampu menyiapkan rumah 
      dalm tempoh yang dijanjikan dan menjual hartanah mereka melalui kempen 
      besar-besaran baru-baru ini, ia tidak menyelesaikan masalah mereka yang 
      sudah terjebak dengan masalah rumah terbengkalai. 
      Ramai yang tidak punya wang lagi untuk membeli rumah 
      baru. Bagi mereka tidak ada pemyelesaian kecuali berdoa agar rumah mereka 
      siap juga akhirnya. 
      Menurut Pengerusi Syarikat Perumahan Negara (SPN), Datuk 
      Zahid Ahmad Zamidi, kajian mendapati 80 peratus masalah rumah terbengkalai 
      berpunca daripada masalah kewangan pemaju sendiri. Ini membabitkan tanah 
      yang tidak dapat ditebus serta masalah dengan bank akibat kadar aliran 
      tunai yang tidak mantap. 
      Tegasnya, ini membuatkan pembeli rumah terpaksa membayar 
      pinjaman bank dan dalam masa sama menyewa rumah hingga dalam 
      setengah-tengah kes ia berlanjutan hingga 20 tahun. 
      Apa yang menyedihkan ada pembeli mengadu mereka tidak 
      lagi dapat mengesan pemaju kawasan perumahan mereka kerana projek itu 
      terbengkalai sejak sekian lama. 
      Dalam hal ini kita mengalu-alukan langkah kerajaan 
      campur tangan untuk membela nasib pembeli rumah yang sekian lama merintih 
      dalam diam ini. 
      Mengikut perancangan, kerajaan sudah memilih 47 projek 
      rumah yang terbengkalai bernialai RM103 bilion untuk dipulihkan dalam fasa 
      pertama pelan menyiapkan rumah berkenaan. 
      Sebanyak 10 daripada 47 yang alkan dipulihkan itu 
      membabitkan Selangor, Pahang (8), Perak, negeri Sembilan, Johor, Kelantan 
      (4), Kedah, Pulau Pinang, Melaka (3), Kuala Lumpur (2), Perlis dan 
      Terengganu (1). 
      Pastinya kita berharap lebih banyak lagi perumahan yang 
      terbengkalai akan dipulihkan dalam masa terdekat ini hinggalah semua 493 
      kes rumah terbengkalai di seluruh negara dapat diselesaikan.  |