Akta baru kaji denda lebih tinggi 
      terhadap pemaju gagal  
      Berita Harian 14/02/2001 
       
      Akta baru sedang digubal bagi membolehkan denda lebih tinggi akan 
      dikenakan terhadap pemaju perumahan yang gagal menyambung semula projek 
      terbengkalai masing-masing, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan 
      Tempatan, Senator Datuk M Kayveas.Beliau berkata, 
      kementerian sudah mengemukakan satu cadangan akta baru berhubung perkara 
      itu yang kini sedang dikaji pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan 
      kepada Dewan Rakyat untuk kelulusan. 
      “Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa pemaju yang 
      gagal menyambung semula projek terbengkalai, perlu didenda,” katanya dalam 
      jawapan bertulis kepada soalan yang difaks oleh Berita Harian, hari ini. 
      Katanya,kerajaan faham semasa kemerosotan ekonomi, 
      berlaku kepincangan sumber kewangan tetapi kini bank menawarkan pelbagai 
      kemudahan perbankan untuk membiayai projek perumahan. 
      “Jadi saya nampak di mana pemaju menghadapi masalah. 
      Kerajan memandang serius mengenai perkara ini kerana ia membabitkan 
      kesejahteraan rakyat,” katanya. 
      Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik 
      sebagai berkata, pemaju yang gagal menyambung semula projek pembinaan 
      mereka yang terbengkalai selepas ekonomi semakin pulih, perlu didenda. 
      Timbalan Perdanan Menteri mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) 
      bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang 
      terhadap pemaju terbabit. 
      Kayveas berkata, pemaju perumahan harus peka dengan 
      nasib pembeli rumah yang terpaksa membelanjakan simpanan begitu banyak 
      untuk membeli kediaman idaman masing-masing. 
      Beliau berkata, semua projek yang terbengkalai harus 
      disambung semula dengan segera kerana pembeli berkenaan dibebani bayaran 
      balik yang tinggi kepada bank walaupun pemaju gagal menyambung projek 
      perumahan terbabit. 
      Beliau berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak 
      mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba megambil kesempatan mengaut 
      keuntungan tanpa menghiraukan nasib rakyat. 
      Kayveas berkata, alasan tenaga kerja tidak mencukupi 
      juga tidak boleh diterima kerana pihaknya akan meneliti profil kewangan, 
      tenaga kerja dan kemampuan secara keseluruhan sesebuah syarikat pemaju itu 
      sebelum meluluskan sebarang lessen kepada pemaju terbabit. 
      Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan 
      Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi berkata, kebanyakan 
      projek perumahan tergendala berpunca daripada kajian pasaran yang lemah. 
      “Contoh kajian pasaran yang lemah ialah menjalankan 
      pembinaan di kawasan yang rendah permintaannya dan menetapkan harga 
      terlalu tinggi. Tambahan pula, keadaan ekonomi dan pasaran saham Malaysia 
      yang lemah,” katanya.  |