493 projek perumahan RM15b 
      terbengkalai  
      Utusan Malaysia 10/02/2001 
       
      Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 493 projek perumahan terbengkalai 
      di seluruh negara yang keseluruhannya bernilai RM15 bilion.
      Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPN), Datuk Ahmad 
      Zahid Hamid berkata, sebanyak 47 projek perumahan yang dianggarkan 
      bernilai RM1.3 bilion daripadanya telah dipilih untuk dipulihkan didalam 
      fasa pertama yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat. 
      “Langkah pemulihan ini dilakukan dengan berhati-hati 
      kerana pihak kerajaan akan menumpukan perhatian terhadap projek-projek 
      yang berpotensi untuk dipulihkan. 
      ‘Keutamaan akan diberikan kepada projek perumahan yang 
      melibatkan pembeli-pembeli yang telah menanggung pinjaman bank sekian lama 
      dan terpaksa menyewa rumah pada waktu yang sama ,” katanya. 
      Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo baru 
      SPN berbentuk bumbung rumah yang merupakan manifestasi peletakan semula 
      landasan pelakasanaan dan dasar syarikat yang melambangkannya sebagai 
      sebuah syarikat pemaju perumahan kerajaan sepenuhnya. 
      Turut sama pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga 
      Pengarah SPN serta Pengarah Urusannya, Mohd Zaihan Mohd. Zain. 
      Sebanyak 10 daripada 47 projek perumahan yang akan 
      dipulihkan itu bertempat di Selangor, Pahang (8), masing-masing empat di 
      Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan, masing-masing tiga di Kedah, 
      Pulau Pinang dan Melaka, dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 
      masing-masing satu di Perils dan Terengganu. 
      Menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan fasa pertama projek 
      pemulihan itu akan mengambil masa antara enam bulan sehingga dua tahun 
      untuk siap sepenuhnya. 
      Ahmad Zahid menegaskan, tindakan tersebut bukan 
      bertujuan untuk menyelamatkan para pemaju tetapi lebih kepada membantu 
      pembeli-pembeli rumah yang menghadapi tekanan kewangan. 
      “Mengikut kajian, 80 peratus daripada masalah projek 
      terbengkalai berpunca daripada masalah kewangan pemaju itu sendiri seperti 
      tanah yang tidak dapat ditebus serta masalah dengan bank akibat kadar 
      aliran tunai yang tidak mantap. 
      “Ada pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank dan 
      dlam masa sama masih menyewa rumah lain dan ini berlaku dalam tempoh 20 
      tahun,” katanya. 
      Ditanya bila baki projek terbengkalai sebanyak 466 
      projek itu akan dilakasanakan, beliau berkata, ia akan dilakukan secara 
      berperingkat-peringkat. 
      Katanya, sebuah jawatankuasa pemantauan telah ditubuhkan 
      melibatkan para pegawai kanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
      dengan kerjasama SPN bagi mengenal pasti keutamaan yang akan diberikan 
      kepada projek untuk dipulihkan. 
      Ahmad Zahid berkata, SPN juga telah diarahkan oleh 
      Kementerian Kewangan untuk membina segera kuarters angkatan tentera dan 
      kakitangan awam ditujuh lokasi meliputi 6,935 unit. 
      Sebanyak 1,842 unit rumah angkatan tentera akan 
      didirikan di Kementerian pertahanan; Kem Pasifik, Jalan Ampang, Kuala 
      Lumpur (KL) (834), Kem Sungai Besi, KL (1,478), Kem Wardieburn, 
      Setapak, KL (946), Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang 
      (650), Jalan Cochrane, KL (560) dan Jalan U-Thant, KL. 
      Bagi kakitangan awam, sebanyak 300 rumah akan didirikan 
      di jalan U-Thant, KL. 
      Sementara itu, bagi pembinaan rumah-rumah kos rendah, 
      SPN katanya, akan membina 1,000 unit rumah jenis itu di Balok, Pahang yang 
      bernilai RM33 juta, Dengkil, Sepang (960 unit) bernilai RM30.24 juta yang 
      telahpun siap sebanyak 45 peratus serta di Taman Medan (840) bernilai RM29 
      juta.  |