Putrajaya keluar 
			4,854 CF 
			Berita Harian
      09/11/2001 
			 
			KUALA LUMPUR, Khamis - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
			sudah menerima penjelasan Perbadanan Putrajaya mengenai isu 
			kelewatan pengeluaran Sijil Menduduki Rumah (CF).
			Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata dalam 
			laporan yang diterima Selasa lalu, Perbadanan Putrajaya menjelaskan 
			daripada 5,295 unit kediaman yang siap dibina, sebanyak 4,854 CF 
			sudah dikeluarkan. 
			"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,373 unit rumah 
			tidak didiami walaupun CF sudah dikeluarkan," katanya. 
			Beliau berkata, mengikut laporan itu, hanya 441 
			rumah yang belum
			menerima CF kerana pemaju belum mengemukakan permohonan. 
			"Jadi, kebanyakan rumah sudah menerima CF tetapi 
			pemilik belum menduduki rumah mereka. Ini bermakna, Perbadanan 
			Putrajaya menyatakan kepada kementerian bahawa mereka tidak pernah 
			melambatkan pengeluaran CF," katanya selepas melancarkan Hari 
			Perancangan Bandar Sedunia 2001 serta Hari Terbuka dan Kualiti 
			Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di sini, hari ini. 
			Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr 
			Mahathir Mohamad mengarahkan pelbagai pihak bertanggungjawab supaya 
			mempercepatkan pengeluaran CF untuk rumah kediaman di Putrajaya. 
			Ong berkata, dasar yang diluluskan Majlis Negara 
			Kerajaan Tempatan mewajibkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) 
			mengeluarkan CF kepada pemaju dalam tempoh 14 hari sekiranya semua 
			syarat teknikal dipenuhi. 
			Katanya, PBT yang tidak memberikan jawapan selepas 
			borang E diterima daripada pemaju, boleh dianggap sudah mengeluarkan 
			CF berkenaan. 
			Dalam perkembangan lain, Ong berkata, kerajaan 
			akan meningkatkan usaha mempromosi Kuala Lumpur selaras dengan 
			hasrat menjadikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan 
			antarabangsa. 
			Sehubungan itu, katanya, mesyuarat Kabinet di 
			Langkawi pada 10 Oktober lalu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas, 
			dikenali Jawatankuasa Peringkat Menteri Untuk Promosi Kuala Lumpur 
			yang dipengerusikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk 
			Pandikar Amin Mulia. 
			Katanya, usaha itu turut membabitkan 
			kementeriannya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, 
			Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta 
			Kementerian Belia dan Sukan. 
			"Kerajaan hendak menjadikan ibu negara sebagai 
			bandar raya yang mempunyai pelbagai daya tarikan seperti bandar 
			bercahaya dalam taman dan syurga beli-belah. 
			"Jawatankuasa itu bertindak sebagai badan kerajaan 
			yang akan melaksanakan pelbagai program promosi yang dibantu 
			kementerian terbabit," katanya. 
			Beliau berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa 
			khas itu kerana
			mendapati daya tarikan di ibu negara kurang mendapat pendedahan di 
			peringkat antarabangsa. 
			Katanya, perbincangan sudah diadakan antara 
			kementerian terbabit dan pengerusinya sedang merancang bagaimana 
			jawatankuasa itu akan berfungsi. 
			"Usaha mempromosi itu akan membabitkan kawasan 
			pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran," 
			katanya  |