Tangani isu rumah
terbengkalai
15/01/2010 Utusan Online Oleh HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT 14 Jan. - Selepas tidak tahan lagi menunggu selama 21 tahun,
kira-kira 50 pembeli hari ini mendesak kerajaan negeri campur tangan bagi
menangani segera projek perumahan terbengkalai di Batu Satu, di sini.
Ini kerana tegas mereka, rumah yang mereka impikan itu masih belum dapat
direalisasikan sedangkan wang pendahuluan sebanyak RM2,500 telah dibayar
pada bulan April 1989.
Projek perumahan yang dilaksanakan oleh Persatuan Bekas Perajurit Malaysia
(PBPM) itu dikhususkan kepada bekas perajurit dan waris mereka dengan
setiap unit rumah berharga RM25,000.
Seorang pembeli, Bahar Mohd. Saaid, 53, mendakwa, dia antara puluhan
pembeli yang ditawarkan oleh PBPM untuk memiliki rumah berkembar kos
rendah dengan harga pada masa itu sebanyak RM25,000 seunit.
''Saya yang berminat dengan tawaran itu dipanggil oleh PBPM untuk
menandatangani dokumen perjanjian, memilih dan menentukan lot rumah serta
mengemukakan wang pendahuluan sebanyak 10 peratus pada 2 April 1989.
''Apa yang peliknya dalam pengurusan berkenaan, saya tidak diberi sebarang
borang untuk ditandatangani, malah tiada taklimat untuk menjelaskan urusan
pembelian rumah.
''Oleh kerana memerlukan kediaman selesa, semua pembeli membayar
pendahuluan 10 peratus iaitu RM2,500, manakala RM150 untuk bayaran guaman,"
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada peringkat awal, jelas Bahar, pembeli yakin untuk memiliki rumah
tersebut berdasarkan beberapa unit rumah contoh dipamerkan di tapak projek
berkenaan.
Selepas deposit dibayar, dakwanya, sehingga kini tiada sebarang jawapan
yang diterima oleh pembeli daripada PBPM.
Ketika membangkitkan isu itu pada mesyuarat agung PBPM di sini baru-baru
ini, katanya, pembeli dimaklumkan projek perumahan tersebut tidak sesuai
dibangunkan di kawasan berkenaan kerana strukturnya berbatu.
Menurutnya, PBPM berjanji berusaha memohon tanah daripada kerajaan negeri
tetapi sehingga kini masih belum menampakkan sebarang tanda projek itu
akan diteruskan.
''Penangguhan projek itu berikutan struktur tapaknya berbatu dan
masalah-masalah lain amat mengecewakan kerana di peringkat awal kami
dijanjikan dengan pelbagai tawaran menarik," katanya.
Sehubungan itu, tambah Bahar, pembeli berharap kerajaan negeri dan PBPM
dapat mencari jalan menyelesaikan masalah yang berlanjutan sehingga lebih
20 tahun itu.
''Kita memohon kerajaan negeri dan persatuan menyediakan tapak baru untuk
membolehkan ahli dan waris bekas perajurit membina rumah sendiri," katanya.
Tambahnya, PBPM dan kerajaan negeri perlu prihatin dengan nasib bekas
perajurit dan waris mereka yang berpendapatan rendah dan memerlukan tempat
tinggal yang selesa. |
|