This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rayu kementerian siapkan segera
19/01/2010 Utusan Online

KEPONG 18 Jan. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dirayu agarmenyiapkan segera projek perumahan rakyat (PPR) di Jalan Silang di sini.

Selain sudah terlalu lama menanti untuk mendiami rumah tersebut, penduduk juga tidak mampu untuk terus menanggung pelbagai kos tambahan berikutan kediaman mereka kini jauh dari tempat kerja.

Rata-rata penduduk yang ditemui berharap tindakan segera pihak kementerian mampu menyelesaikan masalah utama di projek itu iaitu ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Kata mereka, projek itu sudah lebih 95 peratus siap dan sangat tidak wajar membiarkan baki lima peratus itu terbiar begitu lama.

Bagi Amunatha Subramanian, 36, dia berharap apa yang dijanjikan oleh kerajaan dapat ditunaikan dengan segera.

Dia yang kini tinggal di Kampung Baru Kepong terpaksa menanggung peningkatan kos sara hidup sebanyak RM500 sebulan untuk membayar sewa rumah.

"Saya tidak pasti bila kami boleh berpindah dan tinggal di sini, sedangkan sudah beberapa kali kami mengadakan perjumpaan dan perbincangan tetapi masih tiada jalan penyelesaian," ujarnya.

Bagi Liew You Chong, 58, dia berasa amat sedih kerana sebelum diarahkan berpindah dari situ, mereka dijanjikan rumah baru di tapak rumah setinggannya hanya dalam tempoh dua tahun.

"Kini sudah enam tahun berlalu dan ia amat menyeksakan. Saya harap kerajaan memandang perkara ini dengan serius agar orang-orang seperti kami tidak teraniaya," ujarnya.

Perasaan sama turut dikongsi, Tan Mee Eng, 38,.

Dia yang merupakan penduduk setinggan Jinjang dijanjikan rumah berkenaan, namun sehingga sekarang tanda-tanda untuk berpindah masih belum pasti.

"Saya kini menyewa di Sri Damansara dengan kadar sewa RM650 sebulan. Walaupun mahal, kami terpaksa menanggungnya," ujarnya.

Sementara itu, Looi Hek Chong, 69, berharap segala masalah yang timbul sehingga menyebabkan projek berkenaan terbengkalai dapat segera diatasi.

Katanya, jika perkara itu berterusan, mereka yang akan terus menjadi mangsa, teraniaya dan terpaksa menanggung kos sara hidup tambahan.

"Memandangkan keluarga saya ramai, kami terpaksa menyewa rumah di pekan ini dengan kadar sewa RM800 sebulan. Ia cukup membebankan," ujarnya.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.