This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Plaza Skudai terbiar 13 tahun
27/01/2010 Utusan Online Oleh KHADIJAH IBRAHIM utusanjohor@utusan.com.my

NOORISHAM Ismail menunjukkan air bertakung dalam bangunan Plaza Skudai yang terbiar di Taman Skudai Baru, Skudai, semalam.

JOHOR BAHRU 26 Jan. – Dalam usaha kerajaan negeri menarik perhatian pelancong dan pelabur ke Wilayah Iskandar, masih ada kawasan yang tidak diberi perhatian, terutamanya bangunan terbiar atau terbengkalai.

Salah sebuah bangunan terbiar yang menyakitkan mata memandang adalah Plaza Skudai yang terletak di Jalan Ronggeng 5, Taman Skudai Baru, Skudai di sini.

Bangunan lima tingkat itu terbiar tanpa sebarang pengurusan sejak 13 tahun lalu selepas hanya beroperasi selama dua tahun pada 1995.

Tinjauan Utusan Malaysia di bangunan tersebut hari ini, mendapati kaki lima bangunan dipenuhi serpihan kaca, botol arak dan sampah-sarap.

Selain itu, aras bawah bangunan tersebut dipenuhi air bertakung dan sampah-sarap, sekali gus sesuai untuk pembiakan aedes.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah, Noorisham Ismail, menggesa pemilik bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan wakil rakyat kawasan tersebut, Dr. Boo Cheng Hau (DAP) mengambil tindakan segera.

Katanya, kedudukan bangunan tersebut di kawasan bandar bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah ia turut berbahaya kepada pengguna jalan raya.

“Cermin bangunan ini pernah jatuh dan nasib baik tidak ada orang sedang berjalan ketika itu. Kemungkinan kalau ada angin kuat atau hujan lebat, perkara yang sama akan berulang.

“Bukan setakat cermin atau bahan lain jatuh, di tingkat bawah itu sudah jadi tempat pembiakan aedes dan kalau orang nak buat perkara jahat pun tidak siapa yang tahu, tiba-tiba sahaja bau busuk. Harap masalah ini diatasi segera,” katanya.

Menurutnya, tempat tersebut juga sering digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk dijadikan tempat melepas gian dan bermalam.

Katanya, kehadiran golongan tersebut sedikit sebanyak menganggu gugat peniaga di medan selera bersebelahan bangunan tersebut.

Salah seorang peniaga makanan di medan selera bersebelahan bangunan tersebut, Abdul Ghani Daud, 62, berkata, dia pernah melihat beberapa penagih dadah mengangkut barang dari situ.

“Kalau tengok, tingkat satu, mana ada besi lagi sebab sudah kena angkut oleh penagih dadah. Dulu waktu malam nampak lori angkut barang.

“Kadang-kadang siang pun ada tapi mereka angkut barang guna motor. Kita nak tegur pun tidak berani. Selain angkut barang, ada juga yang bermalam di situ,” katanya.

Abdul Ghani mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut kerana bangunan itu mencacatkan pemandangan pelancong yang menginap di hotel berhampiran.

Sementara itu, Soh Chor Tang, 50-an yang membuka pejabat di bangunan sebelah berkata, setiap hari dia melihat pemandangan buruk.

“Tengoklah, setiap hari saya terpaksa menghadap bangunan itu. Sudahlah buruk, lepas itu terbiar begitu sahaja. Nak lalu tepi bangunan pun takut, ada ular.

“Kalau bangunan itu dibaiki dan disewa dengan kadar rendah, saya percaya ia boleh menarik perhatian peniaga dan orang ramai akan singgah di situ,” katanya.

Dia yang merupakan jurulatih renang, mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah segera kerana bangunan tersebut di kawasan bandar.

Bagi Idris @ Harris Abd. Jamak, 63, yang menguruskan Gerai Gunting Rambut berkata, sewaktu Skudai Plaza beroperasi dulu, medan selera sering jadi tumpuan.

Katanya, sejak bangunan itu ditutup, pendapatan peniaga di medan selera juga berkurangan.

“Sebenarnya saya sudah beberapa kali buat aduan pada pihak polis tentang kegiatan penagih dadah di bangunan terbiar itu, tapi bila polis datang tak ada.

“Itulah, kalau tak mahu dibangunkan semula, baik runtuh saja kerana ia bakal mengundang pelbagai masalah kepada orang ramai. Sebenarnya, kalau orang buat apa-apa dalam bangunan itu pun tiada siap yang tahu,” katanya.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.