This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perumahan nelayan Bunut Rendang siap 2011
15/01/2010 Utusan Online

KUANTAN 14 Jan. - Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menyiapkan projek perumahan nelayan di Bunut Rendang dekat sini yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu, pada pertengahan tahun depan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, kerajaan negeri kini telah mengambil alih projek perumahan tersebut setelah kontraktor yang dilantik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, gagal melaksanakannya.

Kerajaan negeri, kata beliau, telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk meneruskan projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

''Daripada 500 unit rumah nelayan yang hendak dibina dalam projek itu, hanya 152 unit yang disiapkan tetapi masih belum mempunyai kemudahan air dan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan elaun sara hidup, bayaran ganti rugi minyak tercemar dan bantuan kepada ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota dekat sini hari ini.

Seramai 901 nelayan dari seluruh daerah ini menerima bantuan sebanyak RM200 seorang pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Wan Adnan memberitahu, kerajaan negeri akan melantik kontraktor baru bagi meneruskan projek perumahan tersebut selepas mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Katanya, projek perumahan itu kini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Muhammad Shafian Ismail.

Beliau memberitahu, oleh kerana projek itu terbengkalai terlalu lama, sebahagian daripada penerimanya telah meninggal dunia.

''Daripada 500 orang penerima asalnya, kini hanya tinggal 149 orang. Selain meninggal dunia, ada nelayan yang telah membeli rumah lain kerana tidak mahu menunggu terlalu lama," jelasnya.

Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan negeri akan menjalankan proses temuduga sekali lagi untuk memberi peluang kepada nelayan lain mendapat rumah tersebut apabila siap.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.