Penduduk tuntut janji
19/01/2010 Utusan Online Oleh Roslah Othman kota@utusan.com.my
PEMbeli rumah di Projek Perumahan Rakyat di Jalan Silang, Kepong berhimpun
secara aman di hadapan bakal rumah mereka bagi menyuarakan rasa kecewa dan
kepada kerajaan berikutan kegagalan pemaju menyiapkan projek tersebut
sejak enam tahun lalu.
KEPONG 18 Jan. - Sampai bila kami harus menunggu. Usia kami pun sudah
semakin lanjut. Begitulah luahan dan keluhan hati Wong Go Hiong, 63, salah
seorang daripada individu yang menjadi mangsa projek rumah terbengkalai di
Jalan Silang, Kepong di sini.
Rasa hati warga tua itu sudah pasti terbit daripada tekanan yang
dihadapinya yang disebabkan terpaksa terus berhadapan dengan kesusahan,
sedangkan apa yang dijanjikan belum pasti dapat dirasai.
Dia yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu sejak hampir
enam tahun lalu merupakan penduduk setinggan asal di kawasan tersebut yang
telah diarahkan berpindah ke PPR berkenaan sementara menanti rumah mereka
disiapkan.
Sebelum ini, tempoh dua tahun diberikan, namun janji itu hanya tinggal
janji apabila dia terpaksa kembali ke situ untuk sama-sama turun padang
dengan penduduk lain menagih janji pihak bertanggungjawab.
Warga tua itu juga mengakui bukan sekali dua dia hadir pada mesyuarat
mahupun bantahan seumpama itu, sebaliknya sudah tidak terhitung jumlahnya.
"Kami dijanjikan cuma dua tahun iaitu sehingga 2005, kini sudah tahun
2010," ujarnya ketika ditemui selepas menyertai bantahan bersama beberapa
penduduk di sini.
Difahamkan, projek berkenaan dilaksanakan bagi menempatkan semua penduduk
di empat buah penempatan setinggan di sekitar Kepong dan Jinjang.
Projek tersebut sepatutnya siap dan boleh diduduki pada tahun 2005, namun
atas sebab-sebab tertentu, ia gagal disiapkan.
Kontraktor juga dikatakan sudah bertukar beberapa kali namun projek
berkenaan masih juga gagal disiapkan sepenuhnya termasuk menyediakan
kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Keadaan itu menyebabkan sijil layak menduduki (CF) tidak boleh dikeluarkan
oleh pihak berkuasa, sekali gus menjadikan penduduk terus hidup dalam
penantian yang tidak diketahui bila akan berakhir.
Difahamkan, selain tinggal sementara di PPR Taman Wahyu, ada antara
penduduk terpaksa menyewa di tempat lain dengan kadar sewa antara RM450
hingga RM800 sebulan.
Kebanyakan yang memilih untuk menyewa di sekitar Kepong adalah kerana
rumah sementara yang disediakan iaitu di PPR Taman Wahyu agak jauh dari
pekan Kepong, tempat mereka mencari rezeki.
Apa yang menimbulkan tanda tanya penduduk ialah mengapa projek di bawah
seliaan kerajaan Persekutuan itu gagal disiapkan sehingga kini.
Terdapat tiga blok dengan kira-kira 948 unit di PPR itu dan akan dijual
kepada pembeli dengan harga RM35,000 seunit.
Utusan Malaysia yang meninjau keadaan projek itu mendapati, ia sudah
melebihi 95 peratus siap tetapi masih belum dibekalkan dengan kemudahan
air dan elektrik.
Akibat terlalu lama terbiar, berlaku beberapa kerosakan pada bangunan
tersebut termasuk kerosakan pada tingkap manakala kawasan sekeliling sudah
ditumbuhi dengan semak-samun.
Masalah sistem pembetungan juga dikatakan antara masalah baru yang timbul.
Difahamkan, Indah Water Konsortium (IWK) meminta pihak Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menanggung kos penyelenggaraan
termasuk membina pagar di kawasan perumahan tersebut.
Ketua Pusat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping yang turut hadir pada sesi
bantahan tersebut berkata, apa yang diharapkan ialah KPKT dapat memberi
maklum balas segera mengenai perkara itu.
Katanya, ini kerana ia melibatkan golongan berpendapatan rendah yang tidak
mampu untuk terus menanggung pelbagai kos tambahan terutama kos
pengangkutan untuk ke tempat kerja.
Selain itu, katanya, pihak kementerian juga diminta menyediakan surat
akujanji untuk digunakan sebagai surat sokongan kepada Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan itu
mengeluarkan CF.
"Sebagai pihak yang mewakili penduduk, saya merayu agar pihak KPKT dapat
segera bertindak," ujarnya.
Poh Ping berkata, pembeli di situ juga merancang untuk menyewa dua buah
bas bagi mengadakan bantahan di perkarangan KPKT di Pusat Bandar Damansara.
"Sama ada pihak KPKT bertindak atau tidak dalam tempoh ini, mereka tetap
akan meneruskan rancangan tersebut (berhimpun secara aman) kerana sudah
tidak tahan dengan janji yang gagal dikotakan sejak lima tahun lalu,"
ujarnya. |
|