Kanun Tanah
Negara di Labuan mulai Jan.
30/12/2009 Utusan Online
KUALA LUMPUR 29 Dis. - Mulai Jumaat ini, perintah perluasan dan pemakaian
Kanun Tanah Negara (KTN) akan dikuatkuasakan ke atas Wilayah Persekutuan
Labuan bagi memantapkan urusan pentadbiran tanah.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik
Raja Zainal Abidin berkata, keputusan tersebut dibuat setelah kerajaan
menyemak serta membandingkan setiap seksyen di dalam KTN dan Ordinan Tanah
Sabah.
"Melalui semakan serta perbandingan tersebut, kerajaan mendapati pemakaian
KTN ke Wilayah Persekutuan Labuan adalah bersesuaian.
"Selain itu, beberapa undang-undang berkaitan pentadbiran tanah juga akan
diperluaskan pemakaiannya," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari
ini.
Menurut Raja Nong Chik, undang-undang yang akan diguna pakai termasuk Akta
Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318),
Akta Juru ukur Berlesen 1958 (Akta 458), Akta Pelan dan Dokumen Tanah dan
Lombong 1950 (Akta 233) dan Akta Hakmilik Anak Negeri Labuan 2007 (Akta
667).
Kata beliau, secara keseluruhannya faedah yang diperoleh susulan daripada
perluasan dan pemakaian KTN adalah corak pentadbiran tanah di Wilayah
Persekutuan Labuan sama seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung.
"Justeru, kuasa yang terkandung di bawah KTN dapat dilaksanakan oleh pihak
yang diberi kuasa seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.
"Keseluruhan tanah di sini juga adalah di bawah bidang kuasa Pejabat
Pendaftar, sama seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya di Semenanjung,"
katanya.
Beliau menjelaskan, Tanah Bandar dan Tanah Desa tetap dikekalkan statusnya
yang mana dua jenis cukai boleh digunakan sekali gus agar tidak
membebankan pemilik tanah sedia ada.
Tambahnya, melalui undang-undang tersebut, taraf pemilikan dan status urus
niaga tanah anak negeri turut dijamin dan tidak akan jatuh ke tangan
pemilik luar.
"Pihak kementerian juga akan melaksanakan Sistem Pendaftaran Tanah
Berkomputer (SPTB) bagi memantapkan urusan pendaftaran serta rekod hak
milik tanah," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Pusat Sehenti (OSC) turut
diwujudkan bagi menguruskan pembangunan tanah secara menyeluruh. |