Bank dibayar, banglo
tak siap
11/12/2009 BERITA HARIAN Oleh Sufi Azahari
30 pembeli kediaman Taman Desa Sinar Salak jelas pinjaman hingga RM1,900
sebulan
SEPANG: Rumah tidak siap tetapi hutang bank kena bayar. Itu nasib pembeli
26 rumah berkembar dan empat banglo Taman Desa Sinar Salak, Salak Tinggi,
dekat sini, yang terpaksa membayar pinjaman perumahan antara RM1,200
hingga RM1,900 sebulan sejak lebih tiga tahun lalu sedangkan kediaman
dibeli tidak disiapkan.
Pembeli, Zaini Alim, 41, berkata beliau membeli sebuah banglo berharga
RM250,000 di situ pada 2004 dengan niat mahu menggembirakan isterinya,
Fatimah Shamsuddin, yang menghidap barah ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, sehingga isterinya meninggal dunia pada 2007,
kediaman itu masih tidak siap malah terpaksa membayar hutang RM1,900
sebulan.
"Saya juga terpaksa membayar sewa rumah RM700 sebulan di Puchong sedangkan
pemaju berjanji untuk menyiapkan rumah dua tahun selepas pembinaan (2006).
"Hati saya pilu mengenangkan rumah untuk dihadiahkan kepada arwah isteri
belum disiapkan pemaju," katanya, yang juga seorang peniaga.
Beliau berkata, selain rumah yang tidak siap, kemudahan lain seperti
longkang serta jalan masuk juga tidak disempurnakan.
Sentral difahamkan projek pembinaan rumah itu dimulakan pada 2004 dan
sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun.
Wakil pembeli yang juga juruteknik pesawat, Rostan Sari, 32, berkata
mereka amat kecewa apabila perbincangan dengan pemaju untuk menyelesaikan
masalah itu tidak pernah berhasil.
Malah, katanya, puluhan surat dihantar kepada pemaju, bank dan pelbagai
pihak lain dalam usaha menyelesaikan beban mereka itu tetapi masih tidak
berhasil.
Beliau mendakwa pemaju memberi jaminan untuk menyiapkan projek berkenaan
pada bulan ini, tetapi masih tidak nampak tanda ke arah itu.
"Sudah lima tahun kami bersabar dan menunggu untuk mendapatkan rumah yang
dibeli, namun sehingga kini rumah tersebut masih belum siap.
"Pelbagai ikhtiar kami dilakukan termasuk menulis surat kepada pihak
kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, dan pihak berkuasa tempatan, namun
sehingga kini usaha itu masih lagi menemui jalan buntu," katanya kepada
Sentral.
Pembeli turut membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Salak
Tinggi, baru-baru ini berhubung perkara itu.
Pembeli lain, Abdul Rahim Basri, 30, berkata kegagalan pemaju menyiapkan
projek itu menyusahkan pembeli.
Katanya, beliau terpaksa membayar RM1,200 sebulan kepada bank untuk
pinjaman perumahan itu dan pada masa sama membayar RM500 untuk sewa
rumahnya.
"Ada antara kami yang sudah tidak sanggup menanggung beban hutang kepada
pihak bank dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ikatan Darma Bina Sdn Bhd, Norizam Yassin,
ketika dihubungi memberi jaminan untuk menyambung pembinaan tidak lama
lagi.
"Projek yang terhenti itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua ke
tiga bulan lagi," katanya.
Beliau berkata, pihaknya memang bertanggungjawab terhadap projek perumahan
berkenaan dan tidak berniat untuk menganiaya pembeli. |
|
|