This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

49 projek sedang dipulih, 12 selesai
20/11/2009 Utusan Online


RAWANG 19 Nov. - Pelantikan pemaju baru atau penyelamat merupakan antara mekanisme yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memulihkan projek-projek rumah terbengkalai.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pemilihan pemaju atau kontraktor penyelamat pula adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu terutama keupayaan kewangan, pengalaman kerja serta kepakaran teknikal yang dimiliki oleh syarikat berkenaan.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan untuk mengelakkan kemungkinan projek menjadi terbengkalai semula semasa proses pemulihan.

"Pada masa ini, terdapat beberapa syarikat pemaju dan kontraktor penyelamat yang telah tampil menunjukkan minat untuk mengambil alih seterusnya memulihkan projek terbengkalai.

"Kerajaan memandang perkembangan ini sebagai inisiatif murni daripada pihak swasta di dalam usaha memantapkan lagi industri perumahan negara,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dua projek terbengkalai yang kini sedang dalam proses pemulihan di Bandar Baru Kundang dan di sini hari ini.

Cho Ha berkata, sehingga 30 Oktober lalu, sebanyak 49 daripada 148 projek terbengkalai sedang dipulihkan manakala 12 projek telah selesai dipulihkan.

Katanya, keprihatinan kerajaan dalam isu projek terbengkalai dapat dilihat menerusi penyaluran peruntukan sebanyak RM200 juta di bawah Bajet 2010 dengan keutamaan diberikan kepada projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah selaras dengan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan perumahan jenis kos rendah dan sederhana rendah kerana ia melibatkan ramai pembeli yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"Secara keseluruhannya, ia merangkumi 41 projek melibatkan 4,849 unit rumah kos rendah dan 7,603 unit kos sederhana rendah dan 473 unit pemajuan yang sesuai," katanya.

Bagaimanapun, katanya, bilangan unit rumah yang akan dipulihkan bergantung kepada peruntukan yang telah diluluskan.

Cho Ha berkata, projek-projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang telah mencapai peratus kemajuan fizikal 70 peratus mampu dipulihkan dalam tempoh satu tahun dan ia dapat memaksimumkan bilangan projek yang dapat dipulihkan di bawah peruntukan Bajet 2010.

Beliau menambah, sehingga kini, KPKT telah mengambil tindakan menyenarai hitam 1,300 syarikat pemaju dan 4,000 ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat dalam projek terbengkalai.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.