Menteri turun padang
16/04/2009 Harian Metro Oleh Salman Hamat
KUALA LUMPUR: Hasil pendedahan media berhubung masalah perumahan
terbengkalai di Taman Desa Puteri Ampang di sini Timbalan Menteri Perumahan
dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin turun padang
untuk meninjau masalah berkenaan semalam.
Ratusan pembeli blok perumahan terbabit sehingga kini belum dapat berpindah
ke rumah mereka berikutan tidak memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CF).
Projek merangkumi lima blok flet kos rendah itu dikatakan bermula pada 2002
dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan selepas tarikh kerja dimulakan.
Bagaimanapun, projek terbabit gagal diduduki walaupun ada blok sudah siap
dibina sepenuhnya.
Lajim ketika ditemui berkata, beliau akan membentangkan laporan berhubung
masalah terbabit kepada menteri dan dijangka mengadakan perbincangan dengan
pemaju untuk mencari penyelesaian masalah berkenaan.
Manakala pengerusi persatuan penduduk, Mohd Shahrir Lipon, berkata beliau
bernasib baik berikutan blok didiaminya sudah boleh diduduki.
Bagaimanapun, tetap bimbang berikutan bangunan didiami itu hanya mendapat
(CF) sementara.
“Keselamatan kami tidak terjamin, selagi semua lima blok bangunan yang
terbabit dalam projek ini belum siap, pihak berkuasa tidak akan mengeluarkan
CF penuh. Sehubungan itu pihak berkenaan diharap dapat membantu kami
menyelesaikan masalah sudah lama berlarutan ini.
“Saya tetap bersimpati dengan pemilik lain yang susah membayar pinjaman
perumahan mereka, apa lagi hampir semua pembeli adalah mereka yang terbabit
dalam program pemindahan setinggan di sekitar Ampang,” katanya. |