JMB tidak
berfungsi
20/04/2009 Harian Metro Oleh Maiamalina Mohamed Amin
GOMBAK: Hampir 11 tahun menghuni Apartmen Idaman Suria, Medan Idaman di
sini bukan keselesaan diperoleh penduduk, sebaliknya himpunan masalah
bermula dengan penyelenggaraan tidak teratur hingga berkait soal
keselamatan.
Lebih malang, bebanan dihadapi penghuni apartmen 15 tingkat itu bukan saja
tidak mendapat perhatian wajar syarikat pengurusan bangunan, malah Badan
Pengurusan Bersama (JMB) yang dibangunkan Ogos tahun lalu turut gagal
berfungsi.
JMB dilantik dengan persetujuan pembeli bangunan bertingkat dan pemaju
mempunyai bidang kuasa tertentu menguruskan bangunan seperti termaktub
mengikut Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan
Bangunan) 2007 atau Akta 663.
Penduduk, Ahmad Zaki Mohamad Yusop, 41, berkata dia kecewa kerana JMB
gagal memperjuangkan keselesaan penghuni apartmen itu walhal tugas
mengurus dan menyelenggara bangunan tanggungjawab mereka.
“Saya memiliki seunit rumah di tingkat 14 dan setiap bulan tidak pernah
gagal membayar wang penyelenggaraan RM70.
“Saya kecewa kerana siling rumah dimasuki air, masalah anai-anai, lif dan
jenayah curi serta ragut,” katanya pada majlis dialog penduduk bersama
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, semalam.
Stanley Tan, 57, yang memiliki seunit rumah di apartmen itu, berkata
masalah JMB berpunca daripada sikap penghuni sendiri yang kurang kerjasama
selain gagal membentuk jawatankuasa mengurus dengan baik kerana tidak
membayar yuran penyelenggaraan.
Katanya, syarat membentuk JMB iaitu semua ahli jawatankuasanya bersih
daripada tunggakan yuran penyelenggaraan gagal dipatuhi apabila dua
daripada sembilan anggota dilaporkan berhutang, manakala lima lagi meletak
jawatan.
“Tinggal dua anggota masih sah, tapi JMB menjadi tidak efektif dan perlu
diganti dengan badan pengurusan baru dan dalam tempoh sebulan ini sehingga
Mei perlu dianjur mesyuarat luar biasa (EGM) untuk penentuan JMB baru.
Sementara itu, Yew berkata, penduduk 288 unit apartmen itu perlu bersatu
hati serta bekerjasama dalam menguruskan bangunan kediaman mereka termasuk
membayar yuran penyelenggaraan dan tunggakan secara bulanan untuk tujuan
berkenaan.
Beliau juga menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan
kakitangan tidak mencukupi untuk menguruskan kira-kira 5,000 blok flet,
apartmen dan kondominium di ibu kota menyebabkan pihak berkuasa tempatan
itu lambat bertindak terhadap sebarang aduan.
|