>2,992 pembeli
rumah teres lega dapat CF
09/04/2009 Berita Harian Sentral Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
SEBAHAGIAN penduduk mengambil sijil pada Majlis Penyerahan Sijil Layak Menduduki
Bagi Projek Perumahan di Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai di Seri
Kembangan.
Penantian pemilik kediaman Taman Lestari Putra berakhir
SERDANG: Seramai 2,992 pembeli rumah teres dua tingkat di Taman Lestari Putra
di Bandar Putra Permai di sini, baru-baru ini, lega selepas dimaklumkan rumah
yang mereka beli sejak tujuh tahun lalu kini menerima Sijil Layak Menduduki
(CF).
Penduduk, Mohd Nor Munawar, 42, berkata beliau bersyukur selepas menerima
khabar gembira ini sekali gus melenyapkan sebarang tanda tanya yang sering
bermain di fikiran bagi mendapatkan hak layak menduduki secara kekal dan selamat.
“Kami sekeluarga kini berasa amat selamat untuk menduduki rumah idaman ini
apatah lagi penantian selama lebih tujuh tahun ini akhirnya mendapat perhatian
selepas menerima CF sementara selama ini,” katanya ketika ditemui di sini,
baru-baru ini.
Penduduk lain, Normazila Mohd Nor, 37, berkata beliau berharap supaya pemaju
dan pihak yang bertanggungjawab di projek perumahan lain tidak mengambil mudah
mengenai perkara terbabit bagi mengelakkan penduduk tertunggu-tunggu dalam
tempoh masa lama.
“Pemaju perlu lebih peka dan tegas dengan masalah yang bakal dialami pembeli
rumah sekiranya mereka gagal mendapatkan CF untuk kami dalam tempoh masa yang
singkat sekali gus ia dapat meningkatkan kepercayaan kami kepada mereka,”
katanya.
Pada majlis terbabit, seramai 602 penduduk hadir menerima sijil terbabit di
mana mereka adalah pembeli perumahan dari fasa pertama dari jumlah keseluruhan
empat fasa iaitu 8,575 unit sejak projek perumahan terbabit di bina sejak
2004 oleh pemaju Talam Corporation Berhad.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk
Adnan Md Ikhsan, berkata pihaknya akan memastikan semua projek terbengkalai
di bawah kawasan pentadbirannya dapat diselesaikan dalam masa dua tahun lagi
bagi mengurangkan beban tekanan ditanggung pembeli.
“Ada lebih kurang 13 projek perumahan terbengkalai sejak 2000 di bawah kawasan
MPSJ dan antara masalah yang dihadapi pembeli termasuk berpunca daripada pemaju
yang lari, pemaju yang bertukar tangan dan pemaju yang tidak mematuhi arahan
ditetapkan.
“Ini amat serius apatah lagi ia membabitkan pelbagai kesukaran dan kepayahan
yang dialami pembeli untuk membolehkan mereka menduduki rumah idaman masing-masing,”
katanya selepas menyampaikan CF kepada penduduk Taman Lestari Putra di sini,
baru-baru ini.
|