This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Serah projek rumah gagal kepada SPNB

16/03/2009 Utusan Online


KUANTAN 15 Mac – Pemaju perumahan yang tidak mampu menyiapkan projek kerana dibelenggu masalah kewangan, diminta untuk menyerahkannya kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Pahang, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, ia bagi membolehkan projek tersebut dibaik pulih sekali gus mengelakkan pembeli daripada terus teraniaya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 14 projek perumahan terbengkalai di negeri Pahang dan SPNB telah berjaya memulihkan sebahagian daripadanya.

“Pemaju hanya melakukan penganiayaan kepada pembeli jika gagal melaksanakan projek mereka dan jika tidak mampu, serahkan kepada SPNB untuk diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penerangan dan menandatangani surat aku janji bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai oleh SPNB Taman Sungai Karang Darat 1, dekat sini.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar Kanan (Pelaksanaan Projek) SPNB, Datuk Shamshul Baharain Sulaiman dan 71 orang pembeli termasuk mereka yang kini menetap di Lembah Kelang.

Menurut Mohd. Soffi, kerajaan negeri sangat menghargai kerjasama yang diberikan oleh SPNB dalam memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai di negeri ini.

Mengenai projek perumahan Taman Sungai Karang Darat 1, beliau memberitahu, ia membabitkan 128 unit rumah pelbagai jenis yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, SPNB dijangka membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk memulihkan projek tersebut dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan selepas kebenaran diperoleh daripada pembeli.

Sehubungan itu, beliau meminta pembeli terbabit tampil dan menandatangani surat aku janji bagi memberi kebenaran kepada SPNB untuk memulihkan segera projek itu.

“Kita memerlukan persetujuan daripada sekurang-kurangnya 70 peratus pembeli. Setakat ini, yang hadir hanya 71 orang pembeli sedangkan kita memerlukan 89 orang. Sekiranya gagal, pemulihan projek terbabit tidak dapat dilakukan,” katanya

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.