Projek bermasalah
Pulau Melaka akan diatasi
24/03/2009 www.utusan.com.my
MELAKA 23 Mac - Masalah projek perumahan dan pembangunan di Pulau Melaka yang
terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka dapat diatasi apabila ia diambil
alih oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek
negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, sebelum mengambil alih projek itu,
kerajaan negeri perlu melalui pelbagai proses pengambilan daripada syarikat
terdahulu.
Menurutnya, pelbagai prosedur perundangan dan perintah mahkamah perlu dipatuhi
memandangkan ketika ini kes tersebut masih dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi
Melaka.
''Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih projek tersebut kerana
kita perlu meneliti aspek perundangan sebelum membuat sebarang keputusan,"
katanya di sini baru-baru ini.
Projek perumahan dan pembangunan Pulau Melaka yang dilancarkan pada 1998 itu
masih terbengkalai sejak empat tahun lalu melibatkan kira-kira 500 pembeli
projek di situ.
Masalah itu bermula apabila pemaju asal menghadapi masalah kewangan yang serius
sehingga gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual pada 2004.
Menurut Abdul Ghafaar, projek Pulau Melaka itu dibina di bawah projek syarikat
swasta dan kerajaan negeri hanya meluluskan pelan pembangunan.
Katanya, proses mengambil alih projek berkenaan dijangka mengambil masa memandangkan
kerajaan negeri perlu mengikut proses perundangan sebelum kerja lanjutan dapat
dilaksanakan.
''Sebagai negeri yang pesat membangun, sektor perumahan khususnya projek terbengkalai
sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri, seiring hasrat melihat setiap
rakyat mempunyai kediaman selesa.
''Namun ini adalah projek swasta, jadi kita perlu meneliti aspek perundangan
sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.
Katanya, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan syarikat yang dilantik mahkamah
iaitu Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. bagi menyambung semula pembangunan projek
tersebut sekiranya syarikat terbabit mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.
|