This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

500 kecewa projek terbengkalai
16/03/2009 Harian Metro Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

MELAKA: Kepesatan pembangunan sekitar Bandar Hilir yang dikelilingi beberapa taman perumahan dan bangunan komersial belum dapat dinikmati kira-kira 500 pembeli projek perumahan dan lot bangunan di Pulau Melaka.

Ia berikutan projek yang dilancarkan pada 1998 itu masih terbengkalai sejak empat tahun lalu, sekali gus merunsingkan dan beban berganda kepada pembeli apabila sesetengahnya bukan saja terpaksa membayar ansuran pinjaman bank, malah sewa rumah.

Selepas lebih 10 tahun, pembeli hanya mampu memandang beberapa blok rumah usang dan terbengkalai. Jika dipandang dari dekat kebanyakannya sudah lompong di sana sini selepas pelbagai komponen seperti wayar, besi dan batu blok hilang, dipercayai dicuri.

 

Masalah membabitkan kira-kira 500 pembeli malang itu bermula apabila pemaju asal menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual pada 2004.

Selepas beberapa perbincangan, masalah itu tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini. Ini termasuklah menerusi campur tangan kerajaan negeri yang dimulakan sejak hampir setahun lalu.

Seorang pembeli, Ishak Hashim, 52, berkata beliau sangat kecewa kerana terpaksa menjelaskan RM300 setiap bulan sejak 12 tahun lalu walaupun rumah masih terbengkalai.

Katanya, beliau sudah menghabiskan RM40,000 untuk membayar bulanan, selain deposit rumah RM10,000.

"Apa yang mengecewakan, tiada satu tindakan diambil untuk menyiapkan rumah itu walaupun sudah beberapa pertemuan diadakan. Sudah tentu selepas melabur begitu banyak, saya mengharapkan rumah disiapkan segera," katanya.

Liyackat Ali Mohd Sultan, 57, dari Ampang, Selangor pula berkata beliau sudah tidak tahan lagi menanggung masalah itu dan mahu keputusan muktamad dibuat bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Kita bimbang jika terus berlarutan, kos pemulihan pula akan meningkat dan tentunya pembeli terpaksa membayar lebih. Saya mahu ada jaminan pembeli tidak akan membayar lebih daripada yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh, ketika mengulas berkata projek terbengkalai di Pulau Melaka itu dibina di bawah projek swasta dan kerajaan negeri hanya meluluskan pelan pembangunan.

Katanya, proses mengambil alih projek berkenaan akan mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu mengikut proses perundangan sebelum kerja lanjutan dapat dilaksanakan.

"Sebagai negeri yang pesat membangun, sektor perumahan khususnya projek terbengkalai sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri, seiring hasrat melihat setiap rakyat mempunyai kediaman selesa. Namun ini adalah projek swasta, jadi kita perlu meneliti aspek perundangan sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Kerajaan negeri berhasrat mengambil alih projek ini, tetapi perlu menunggu berikutan masalah itu masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Melaka," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemuliharaan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan pula berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan syarikat yang dilantik mahkamah, Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd jika ia menunjukkan kesungguhan.

Katanya, boleh bekerjasama kerana secara tidak langsung ia dapat memudahkan kerja ,namun berdasarkan rekod lampau, syarikat terbabit gagal melaksanakan projek berkenaan meskipun sudah diberi peluang sejak 2006.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.