20 tahun menanti rumah
12/03/2009 Utusan Online Oleh Nazmil Nasiruddin
SEBAHAGIAN pembeli melihat keadaan rumah mereka di Taman Lingkaran Nur,
Kajang yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu – UTUSAN/MOHD. SAIFUDIN RASHID
KAJANG 11 Mac - Masalah rumah terbengkalai adalah antara isu perumahan yang
tidak pernah selesai.
Walaupun kerajaan menetapkan pelbagai syarat dan peraturan untuk membendung
kejadian itu tetapi ia masih belum berkesan sepenuhnya dalam mengatasi
masalah tersebut.
Antara punca utamanya ialah apabila sesebuah pemaju itu gagal meneruskan
projek yang dilaksanakan, mereka mengambil jalan mudah dengan menutup
syarikat atau mengisytiharkannya bankrap.
Walaupun sesebuah projek itu dilaksanakan oleh syarikat pemaju terkemuka
tetapi menjadi amalan syarikat tersebut menubuhkan sebuah anak syarikat lain
untuk setiap projek yang mereka laksanakan.
Dengan itu, mudah untuk mereka 'melepaskan' diri tanpa menjejaskan syarikat
induk apabila sesebuah projek itu terbengkalai.
Namun, apa yang menyedihkan di sebalik setiap projek yang terbengkalai itu
ialah bebannya ditanggung oleh pembeli.
Inilah yang dialami oleh baki pembeli rumah di Taman Lingkaran Nur di sini
yang masih belum dapat disiapkan walaupun sudah menunggu sejak 20 tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lingkaran Nur, Mohd. Norman Abd. Hadi
berkata, pembeli kini keliru dengan status projek tersebut.
Katanya, projek yang bermula pada tahun 1989 itu sepatutnya telah lama siap
tetapi apa yang berlaku ialah, walaupun projek itu sudah tiga kali bertukar
pemaju, ia masih terbengkalai.
"Malah, papan tanda mengenai projek itu sudah tiada manakala jalan masuk ke
tapak projek juga dihalang serta ditutup.
"Pada asalnya, seluruh kawasan perumahan ini dibina pada waktu yang sama
tetapi kami hairan mengapa baki 39 unit ini tidak disiapkan serentak,"
katanya.
Beliau berasa simpati dengan nasib baki pembeli yang masih belum memperoleh
rumah masing-masing.
Selain itu, katanya, penduduk mendapati terdapat kegiatan mengambil pasir di
kawasan tapak projek tersebut yang tidak diketahui sama ada mendapat
kebenaran atau tidak.
"Apabila ditanya kepada mereka yang menjalankan aktiviti tersebut, jawapan
mereka adalah untuk menstabilkan tanah pada tapak projek perumahan itu,"
katanya.
Namun, kata beliau, penduduk telah membuat aduan kepada Pejabat Tanah Hulu
Langat kerana meragui tindakan pengambilan pasir tersebut.
"Mengapa tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pembeli tentang sebarang
aktiviti yang ingin dilakukan tapak perumahan tersebut.
"Selain itu, kami dapati sebahagian rumah terbengkalai tersebut sudah
dirobohkan untuk membolehkan lori masuk dan membawa keluar pasir dari situ,"
ujarnya.
Seorang pembeli rumah di situ, Mohd. Zailan Ayob, 48, berkata, sudah 20
tahun dia menunggu rumahnya disiapkan tetapi sampai sekarang dia hanya dapat
melihat rumah yang terbengkalai sahaja di tapak projek itu.
"Inilah situasi malang yang terpaksa dihadapi oleh saki-baki pembeli rumah
di Taman Lingkaran Nur ini," katanya yang hanya mampu melihat pembeli lain
mendiami rumah mereka.
Katanya, dia berasa teraniaya kerana bukan sahaja gagal mendiami rumah
sendiri tetapi juga disenarai hitam oleh bank kerana tidak menjelaskan
pinjaman yang sudah dikeluarkan.
"Mengapa perlu saya bayar sedangkan rumah sudah lama terbiar sepi, tidak
banyak perubahan yang dilakukan, malah makin terbiar," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak projek itu mendapati apa yang tinggal
hanyalah sisa tinggalan bangunan yang belum siap.
Warna dinding rumah tinggalan itu sudah berlumut dan kehitam-hitaman yang
menandakan ia sudah terbiar sejak sekian lama.
Menurut Zailan, ada di antara pembeli terpaksa menyewa atau membeli rumah
lain kerana sudah tidak sanggup lagi menunggu.
"Saya sendiri sudah dapat banyak surat notis daripada peguam mengenai rumah
yang terbengkalai.
"Selain itu, amaran rumah itu akan dilelong juga saya terima. Pada saya,
kalau nak lelong pun, lelonglah... apa yang nak dilelong, saya pun tidak
tahu," katanya.
Katanya, dia sudah banyak bergolok-bergadai untuk menanggung kos sejak
projek itu bermula sehinggalah ia terbengkalai.
Dan yang paling dia tidak faham ialah mengapa ada rumah yang sudah siap dan
ada pula yang terbengkalai sedangkan ia di bawah satu projek.
Malah, katanya, ada daripada pembeli rumah di situ telah meninggal dunia
tanpa sempat melihat rumah mereka disiapkan.
Zailan menjelaskan, dia kini sedang cuba mengumpulkan para pembeli rumah
yang terbengkalai itu untuk bersama-sama mengatasi masalah itu.
Dia berharap para pembeli yang senasib dengannya supaya menghubunginya
supaya dapat diusahakan sesuatu sehingga rumah mereka yang terbengkalai itu
dapat disiapkan.
Sementara itu, jurucakap Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberitahu,
pihaknya telah membaik pulih sebanyak 253 unit rumah di Fasa 1A Taman
Lingkaran Nur.
"Untuk Fasa 1B pula, SPNB telah pun menjalankan kajian kemungkinan dan kos,
namun buat masa ini masih belum ada peruntukan untuk membaik pulih fasa
tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
|