This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

UDA dirayu siapkan perumahan terbengkalai

03/02/2009 Utusan Online


BUKIT MERTAJAM 2 Feb. - Projek rumah banglo di dua projek perumahan berasingan, Taman Mengkuang Heights dan Taman Orkid Indah di Jalan Maqbul di sini yang terbengkalai sejak Julai tahun lepas masih belum diteruskan.

UDA Holdings menerusi anak syarikatnya, UDA Land (North) Sdn. Bhd. pernah memberi komitmen akan menyambung semula pelaksanaan kedua-dua projek yang pernah menjadi milik Koperasi Serbaguna Jelutong Pulau Pinang Bhd.(KSJPP).

Namun sehingga hari ini, masih belum ada tanda-tanda menampakkan pembinaan kedua-dua projek itu akan diteruskan.

Menurut Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Mengkuang Heights dan Taman Orkid Indah, Dr. Mohamad Rashidi Pakri, masalah itu menghimpit pembeli yang mengharapkan agar rumah yang dibina itu segera disiapkan.

''Projek perumahan ini dimulakan oleh syarikat pemaju Sri Jeluda Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat KSJPP pada 2003 yang sepatutnya siap pada 2005 tetapi telah diisytiharkan terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Julai tahun lalu.

''Sejak itu, pembeli yang rata-rata bumiputera dan kakitangan perkhidmatan awam berputih mata menunggu bilakah mereka boleh menduduki rumah baru,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini bersama setiausaha persatuan, Mohammad Fuad Husin dan bendahari, Khalim Mohd. Maasom.

Projek di Taman Orkid melibatkan pembinaan 71 unit rumah banglo setingkat manakala di Taman Mengkuang Heights, 61 unit termasuk 19 unit banglo setengah tingkat.

Anggaran harga rumah-rumah itu di Taman Orkid antara RM199,000 dan RM268,000 seunit manakala harga kediaman di Taman Mengkuang Heights pula di antara RM180,000 dan RM316,000.

Mohamad Rashidi berkata, apabila syarikat UDA Land (North) Sdn. Bhd. dipertanggungjawabkan menyudahkan kedua-dua projek bernilai RM24 juta itu, ia memberi sinar baru kepada pembeli.

Katanya, selepas UDA Holdings menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pemulihan projek perumahan itu di antara UDA Land dan KSJPP sekitar Februari tahun lalu, ramai pembeli mengharapkan kerja-kerja pembinaan bermula selewat-lewatnya sebulan kemudian.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, tiada tanda-tanda pembinaan dilakukan di lokasi-lokasi perumahan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak pembinaan kawasan perumahan Taman Mengkuang Heights di sini hari ini bersama ketiga-tiga wakil persatuan berkenaan mendapati, unit rumah banglo setingkat empat bilik tidur itu hanya siap dalam anggaran 60 peratus.

Difahamkan, pendawaian elektrik yang telah dipasang di rumah separuh siap itu telah dicuri.

Selain wayar pendawaian, turut dicuri ialah cermin dan bingkai tingkap, pintu serta besi-besi bingkai yang telah dipasang manakala persekitaran unit-unit rumah banglo itu turut ditumbuhi lalang dan semak-samun.

Sementara itu, bendahari persatuan penduduk, Khalim Mohd. Maasom melahirkan rasa bimbang sekiranya rumah-rumah di situ dijadikan sarang menghisap dadah dan maksiat.

''Jika beginilah keadaannya, kami merayu kepada UDA Holdings supaya mengarahkan anak syarikatnya menyambung segera pembinaan dalam waktu terdekat ini,'' katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.