This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sikap pemaju dikesali

13/02/2009 Utusan Online


ALOR GAJAH 12 Feb. - Kerajaan negeri kesal dengan sikap pemaju projek perumahan Taman Bidara di Tanjung Bidara dekat sini yang tidak menunaikan janji untuk menyiapkan projek itu yang tertangguh hampir 11 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, pelbagai notis telah diberikan kepada pihak pemaju mendesak projek perumahan berkenaan disiapkan segera tetapi malangnya ia tidak diendahkan.

Menurut beliau, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kira-kira 301 pembeli rumah di taman itu ingin memiliki rumah tetapi malangnya rumah yang diidamkan masih belum siap.

''Saya akan menemui pemaju ini dan ingin mendapat maklum balas apa yang berlaku sebenarnya hingga projek ini sudah terbengkalai hampir 11 tahun dan hasil daripada pertemuan ini barulah kita akan memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

''Kerajaan negeri lebih pentingkan hak pembeli kerana mereka telah mengeluarkan sejumlah wang untuk memiliki rumah tetapi malangnya rumah yang dibeli masih tak siap-siap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pembinaan projek perumahan itu bermula pada 1993 membabitkan pembinaan 400 unit rumah kos rendah, rumah berkembar, rumah teres kos rendah, rumah teres kos sederhana, banglo setingkat dan banglo dua tingkat.

Namun sejak memulakan projek tersebut, kesemua rumah terbabit masih gagal disiapkan sepenuh.

Mengulas lanjut Abd. Ghafaar berkata, beliau akan mengarahkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membuat kajian penuh ke atas projek itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mempunyai cadangan untuk mengambil alih projek itu bergantung kepada kajian daripada MPAG dan pertemuan dengan pihak pemaju tidak lama lagi.

''Pengambilalihan projek ini memerlukan kajian terperinci. Jika pemaju menghadapi masalah untuk meneruskannya kita akan memikirkan langkah lain untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan projek ini.

'' Apa pun, ia bergantung kepada kajian oleh MPAG, yang penting saya akan pastikan pembeli rumah ini akan dapat memiliki rumah yang mereka idamkan," katanya lagi.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.