| 'Siapkan segera 
      rumah kami'  31/01/2009 
      Utusan Online BUKIT MERTAJAM 30 Jan. - Projek rumah banglo di dua kawasan perumahan berasingan, 
      Taman Mengkuang Heights dan Taman Orkid Indah di Jalan Maqbul di sini yang 
      terbengkalai sejak Julai tahun lepas masih belum diteruskan.
 
 Walaupun UDA Holdings menerusi anak syarikatnya, UDA Land (North) Sdn. Bhd. 
      akan menyambung semula kedua-dua projek yang pernah menjadi milik Koperasi 
      Serbaguna Jelutong Pulau Pinang Bhd. (KSJPP) itu, namun sehingga kini ia masih 
      belum menampakkan tanda-tanda pembinaan akan disambung semula.
 
 Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Mengkuang 
      Heights dan Taman Orkid Indah, 
      Dr. Mohamad Rashidi Pakri berkata, masalah itu menghimpit pembeli yang mengharapkan 
      agar rumah yang dibina itu segera disiapkan.
 
 "Projek perumahan ini dimulakan oleh syarikat pemaju Sri Jeluda Sdn. Bhd., 
      iaitu anak syarikat KSJPP pada 2003 yang sepatutnya siap pada 2005, tetapi 
      ia diisytiharkan terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
      pada Julai tahun lepas.
 
 "Sejak itu, pembeli yang rata-rata bumiputera dan kakitangan perkhidmatan 
      awam sekadar berputih mata menunggu bila mereka boleh menduduki rumah baru," 
      katanya.
 
 Beliau berkata demikian ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di sini 
      hari ini bersama Setiausaha persatuan, Mohammad Fuad Husin dan Bendahari, 
      Khalim Mohd. Maasom.
 
 Projek di Taman Orkid itu melibatkan pembinaan 71 unit rumah banglo setingkat 
      manakala di Taman Mengkuang Heights, 61 unit termasuk 19 unit banglo setengah 
      tingkat.
 
 Anggaran harga rumah tersebut di Taman Orkid ialah antara RM199,000 hingga 
      RM268,000 seunit manakala di Taman Mengkuang Heights, antara RM180,000 hingga 
      RM316,000.
 |