| Pindah ke rumah 
      bertingkat27/01/2009 Utusan Online Oleh Siti Airunnisa Alaui
 KAKITANGAN MPS mengangkat sumpah pada Perhimpunan Tahun Baru 2009 di Dataran 
      MPS, Selayang baru-baru ini. - UTUSAN/HARUN OSMAN
 
 SELAYANG 26 Jan. - Penduduk penempatan semula setinggan Bukit Botak diminta 
      menerima cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan mereka di perumahan 
      bertingkat bagi mempercepatkan masalah penempatan mereka diselesaikan.
 
 Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Azim 
      berkata, masalah yang telah berlarutan sejak sembilan tahun lalu itu gagal 
      diselesaikan berikutan masih tiada jalan penyelesaian berikutan hasrat kerajaan 
      negeri untuk menempatkan penduduk di Taman Selayang Mutiara tidak dapat dilakukan 
      kerana projek perumahan kos rendah itu masih terbengkalai.
 
 Katanya, pihak kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah berkenaan bagi 
      mengurangkan bebanan penduduk berkenaan.
 
 "Isu setinggan di Bukit Botak ini berbeza daripada isu-isu setinggan yang 
      lain memandangkan ia melibatkan komuniti seramai hampir 2,000 orang serta 
      melibatkan hak milik memandangkan mereka telah ditawarkan lot-lot rumah dan 
      bukannya perumahan bertingkat seperti penduduk setinggan lain.
 
 "Selain itu, masalah projek perumahan yang dijanjikan turut terbengkalai disebabkan 
      masalah kos pembinaan yang meningkat serta masalah struktur muka bumi yang 
      tidak sesuai.
 
 "Oleh itu, saya amat berharap penduduk dapat mempertimbangkan penempatan perumahan 
      bertingkat selain mengharapkan projek rumah kos rendah itu siap dibina," katanya 
      kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Tahun Baru MPS 2009 
      di Dataran MPS di sini baru-baru ini.
 
 Tambahnya, beliau memahami keadaan penduduk yang semakin tertekan dengan keadaan 
      semasa namun, mereka dinasihatkan agar bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan 
      tekanan yang mereka hadapi.
 
 Jelasnya, kerajaan telah berusaha sedaya-upaya membantu untuk menempatkan 
      mereka.
 
 "Saya faham penduduk terpaksa berhadapan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 
      (DBKL) apabila tidak mampu menjelaskan sewa rumah di penempatan sementara 
      itu setelah PKNS menamatkan pembayaran sewa rumah tersebut.
 
 "Namun, penduduk juga perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri dan PKNS 
      untuk membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.
 
 "Apa yang dimaklumkan, kerajaan negeri akan menyemak semula masalah penempatan 
      penduduk tersebut dan diharap penduduk dapat bersabar," jelasnya.
 
 Pada tahun 2001, hampir 2,000 penduduk terlibat dalam penyusunan semula penempatan 
      setinggan Bukit Botak ke rumah kos rendah Taman Selayang Mutiara oleh kerajaan 
      negeri Selangor.
 
 Namun, setelah sembilan tahun berlalu, penduduk setinggan berkenaan masih 
      belum memiliki rumah yang dijanjikan oleh PKNS, malah lebih teruk bayaran 
      sewa penempatan sementara mereka serta kerja-kerja pembangunan rumah kos rendah 
      yang dijanjikan sebelum ini diberhentikan.
 
 Penduduk mendakwa, keadaan tersebut membebankan mereka dan mereka merayu agar 
      PKNS mempercepatkan pembinaan rumah kos rendah yang dijanjikan.
 |