| 
    Penduduk Bukit Botak tolak 
    cadangan rumah bertingkat 30/01/2009 Utusan Online SELAYANG 29 Jan. - Penduduk setinggan Bukit Botak dekat sini menolak 
    cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan mereka di perumahan 
    bertingkat sebagai jalan penyelesaian kepada isu penempatan mereka.
 
 Malah, Setiausaha Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB), 
    Fajwan Abdul Kadir, 52, menegaskan, isu rumah bertingkat tidak sepatutnya 
    timbul.
 
 Beliau berkata, ini kerana penduduk mempunyai geran tanah yang mengesahkan 
    kawasan tersebut milik mereka, selain sudah dijanjikan rumah di kawasan 
    tersebut.
 
 Di samping itu, katanya, sebab lain yang membawa kepada penolakan cadangan 
    tersebut ialah sebahagian daripada 84 buah rumah untuk penduduk Bukit Botak 
    sudah siap pembinaannya.
 
 Separuh daripada perumahan tersebut pula, jelas beliau, telah dipasang 
    dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik manakala selebihnya 
    masih dalam pembinaan.
 
 "Kenapa pula kami mahu terima rumah bertingkat sedangkan ada di antara 
    rumah-rumah yang dibina untuk penduduk telah siap pembinaannya.
 
 "Penduduk juga telah membayar cukai tanah yang mereka miliki," katanya 
    sambil menyatakan bahawa geran-geran tanah tersebut telah diluluskan oleh 
    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada September 1999.
 
 Ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini hari ini, Fawjan mahu kerajaan 
    negeri meneruskan projek perumahan itu berdasarkan keputusan yang dibuat 
    sebelum ini demi memastikan penduduk setinggan Bukit Botak mendapat hak 
    mereka.
 
 Katanya, projek tersebut dijangka siap pada tahun ini yang membolehkan 
    penduduk menetap di rumah yang dijanjikan itu.
 
 "Bagaimanapun, penduduk terpaksa menunggu lebih lama kerana Perbadanan 
    Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) gagal menyiapkan rumah mengikut tempoh yang 
    ditetapkan," tegasnya.
 
 Beliau juga memberitahu bahawa PKNS sudah diberi peringatan supaya 
    memikirkan dengan mendalam sebelum mengambil alih projek tersebut daripada 
    pemaju yang terdahulu.
 
 "Apabila mereka bersetuju untuk terlibat dalam projek setinggan Bukit Botak 
    ini, bermakna mereka harus sedia menanggung semua risiko termasuk kerugian 
    dan meneruskan semua yang dipersetujui," jelasnya.
 
 Fajwan berkata, selain isu projek terbengkalai, penduduk juga tertekan 
    apabila PKNS membuat keputusan menghentikan bayaran sewa subsidi sebanyak 
    RM300 kepada penduduk bermula Oktober lalu.
 
 "Pemberhentian bayaran subsidi sewa rumah ini menyusahkan lagi penduduk di 
    sini terutamanya penduduk yang berpendapatan rendah,'' katanya.
 
 Sehubungan itu, beliau berharap PKNS mempertimbangkan semula keputusan 
    tersebut kerana bukan salah penduduk apabila rumah mereka gagal disiapkan 
    mengikut jadual.
 
 Dalam pada itu, Fajwan berkata, jika PKNS gagal menyelesaikan isu rumah 
    terbengkalai itu, penduduk sanggup menyiapkan rumah mereka menggunakan duit 
    sendiri asalkan kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan kemudahan 
    infrastruktur di kawasan berkenaan.
 
 Pada tahun 2001, hampir 2,000 penduduk terlibat dalam penyusunan semula 
    penempatan setinggan Bukit Botak dan mereka ditempatkan di rumah kos rendah 
    Taman Selayang Mutiara oleh Kerajaan Negeri Selangor.
 
 Namun, setelah lapan tahun berlalu, penduduk berkenaan masih belum memiliki 
    rumah yang dijanjikan oleh PKNS, malah lebih teruk bayaran sewa penempatan 
    sementara mereka serta kerja-kerja pembangunan rumah kos rendah yang 
    dijanjikan sebelum ini dihentikan.
 |