| MPAJ hantar usul 
      roboh rumahterbengkalai 31/01/2009 Utusan Online KUALA LUMPUR 30 Jan. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menghantar 
      satu usul ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk merobohkan 
      sederet rumah di Jalan Bunga Cempaka 14, Taman Kencana yang terbengkalai.
 
 Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, usul itu dihantar 
      berikutan kegagalan pihak pemaju membersihkan kawasan itu selepas gagal menyiapkan 
      projek perumahan tersebut.
 
 Katanya, oleh kerana pemaju itu gagal dikesan, hanya Kementerian Perumahan 
      dan Kerajaan Tempatan boleh menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil 
      terhadap projek itu.
 
 "Sebenarnya kalau nak diikutkan, soal meruntuhkan bangunan terbengkalai itu 
      adalah di luar bidang kuasa MPAJ. Itu adalah tanggungjawab pihak pemaju.
 
 "Tetapi dalam kes ini memandangkan pihak pemaju gagal dikesan, jadi MPAJ menghantar 
      satu usul kepada kementerian untuk mengambil tindakan lanjut," katanya.
 
 Beliau mengulas rungutan penduduk kawasan itu mengenai projek terbengkalai 
      itu yang kini ditumbuhi semak-samun.
 
 Norhayati memberitahu, sementara menunggu jawapan daripada pihak kementerian, 
      pihaknya dan Alam Flora akan membersihkan kawasan itu daripada longgokan sampah 
      dan semak-samun.
 |