| 
    Kontraktor dilantik baik pulih 
    lif 01/01/2009 utusan.com.my
 
 KUALA LUMPUR Kerajaan melantik sebuah syarikat kontraktor untuk 
    mengendalikan kerja-kerja pemulihan lif bagi keselesaan penghuni di rumah 
    pangsa Taman Sentul Utama di sini.
 
 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator T. Murugiah 
    berkata, mesyuarat yang diadakan semalam bersetuju untuk melantik kontraktor 
    yang telah dikenal pasti itu.
 
 Katanya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) ditugaskan 
    menghantar surat pelantikan kepada kontraktor tersebut untuk mempercepatkan 
    kerja-kerja membaik pulih lif di flat berkenaan.
 
 "Jawatankuasa Pengurusan baru juga telah ditubuhkan yang terdiri daripada 
    penghuni flat yang akan bekerjasama dengan pihak pemaju dan kontraktor 
    tersebut bagi memulakan usaha membaik pulih," katanya dalam kenyataan di 
    sini semalam.
 
 Pada 30 Oktober lalu, satu mesyuarat bersama penghuni flat Taman Sentul 
    Utama, pihak pengurusan flat, Hokawai and Associates, pemaju, Sentul Murni 
    Sdn. Bhd., serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JKKP telah diadakan 
    di Biro Pengaduan Awam JPM.
 
 Dalam mesyuarat itu, pihak pengurusan serta pemaju berjanji untuk membaiki 
    lif yang rosak, namun sehingga kini, lif tersebut masih belum lagi dibaiki.
 
 Menurut Murugiah, Timbalan Pengurus Hokawai and Associates, Sarjit Singh 
    menyatakan pihaknya tidak dapat membaiki lif sebagaimana yang dipersetujui 
    dalam mesyuarat tersebut kerana pihak penghuni gagal menjelaskan hutang 
    pengurusan sebanyak RM1.2 juta.
 
 Jelasnya, kos membaiki lif perlu dibiayai daripada tunggakan tersebut kerana 
    pihak pemaju tidak mampu membiayainya ekoran kutipan bayaran yang amat 
    mengecewakan.
 
 "Jadi, pihak pengurusan yang baru telah berjanji akan menyelesaikan bayaran 
    tersebut bagi membolehkan lif dibaiki sebelum 4 Januari depan," katanya.
 
 Tambahnya, pada tarikh tersebut juga, beliau akan melawat flat tersebut 
    untuk memberi taklimat kepada penghuni di situ supaya mereka melangsaikan 
    tunggakan bayaran pengurusan tersebut.
 |