| Ejen pelaksana 
      pemulihan projek perumahan terbengkalai ditubuh11/01/2009 Utusan Online
 
 KUALA LUMPUR 11 Jan. — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang 
      menimbang beberapa cadangan termasuk menubuhkan sebuah ejen pelaksana (SPV) 
      bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai di negara ini, kata Menterinya 
      Datuk Seri Ong Ka Chuan.
 
 Katanya, SPV akan mengenalpasti projek terbengkalai, selain memilih pemaju 
      perumahan yang aktif dan berpotensi untuk mengambil alih projek berkenaan.
 
 Cadangan lain termasuk mewujudkan dana khas pemulihan serta menyediakan keperluan 
      kepakaran dalam bidang perundangan, teknikal, kewangan, pentadbiran dan pengurusan 
      tanah berkaitan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kunci kepada 
      37 pemilik banglo fasa empat Taman Jalil Sutera Bandar Bukit Jalil di sini 
      hari ini.
 
 Projek pembinaan rumah banglo itu telah lewat disiapkan berikutan masalah 
      teknikal dan usaha menyegerakan kerja-kerja pemulihan semula projek itu telah 
      dapat diteruskan oleh Syarikat Ho Hup Construction Sdn Bhd dan Bukit Jalil 
      Development Sdn. Bhd.
 
 Ong berkata, SPV yang akan diletakkan di bawah Perbadanan Perumahan Negara 
      itu akan dikawal selia oleh kementerian itu bagi memastikan semua projek perumahan 
      terbengkalai dapat disiapkan dan diserahkan kepada pembeli dalam tempoh perjanjian.
 
 - Bernama
 |