| Masalah bangunan terbengkalai 
    perlu diatasi02/12/2008 Utusan Online
 
 BAHAGIAN dalam bangunan terbiar dipenuhi sampah sarap dan dindingnya 
    dipenuhi contengan.
 
 KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kebanyakan penduduk di sekitar kawasan Angsana Hilir 
    di sini berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak pemaju asal projek 
    perumahan kondominium di Taman Angsana Hilir, Ampang, untuk mengambil 
    tindakan segera terhadap bangunan tersebut kerana ia sudah terlalu lama 
    terbiar.
 
 Hal ini kerana bangunan itu sudah terlalu lama terbiar sehingga melahirkan 
    kebimbangan di kalangan masyarakat setempat yang tinggal berhampiran 
    bangunan itu.
 
 Pihak berkuasa seharusnya melakukan sesuatu dengan segera kerana bimbang 
    perkara tidak diingini boleh berlaku kerana kawasan tersebut tidak dijaga 
    dan memudahkan mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan sesuatu di 
    sekitar bangunan itu.
 
 Seorang penduduk, Azreel Feiza Zahari, 23, berkata, bangunan itu berpotensi 
    untuk menjadi tempat kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah dan 
    kediaman bagi kutu rayau yang tidak mempunyai rumah.
 
 "Seingat saya, sejak dari zaman saya sekolah lagi bangunan itu telah 
    terbengkalai dan sampai sekarang tiada sebarang tindakan diambil daripada 
    pihak berkuasa atau pun pihak pemaju.
 
 "Apa yang merisaukan saya, kawasan berkenaan terlalu gelap pada waktu malam 
    walaupun terdapat lampu jalan di situ tetapi ia berisiko tinggi untuk 
    mengundang kejadian jenayah seperti ragut dan samun," katanya.
 
 Seorang lagi penduduk, Syakir Mohammed Salleh, 23, menggesa pihak berkuasa 
    atau pemaju terbabit untuk mengambil tindakan segera kerana bimbang kawasan 
    tersebut akan menjadi tempat pembuangan sampah.
 
 Katanya, di sekitar kawasan tersebut telah dijadikan tempat pembuangan 
    sampah oleh sesetengah individu dan kegiatan itu akan memberikan impak yang 
    negatif khususnya kepada alam sekitar kerana semakin hari sampah di situ 
    semakin bertambah.
 
 Sementara itu, orang ramai yang menggunakan laluan tersebut juga menyuarakan 
    pendapat yang sama kerana kewujudan bangunan itu hanya mencemarkan 
    pemandangan.
 
 Seorang penduduk tempatan, Luqman Ab. Rahim, 23, yang berulang-alik melalui 
    kawasan tersebut berkata, pihak berkuasa tempatan harus melakukan sesuatu 
    dengan kadar segera kerana bangunan tersebut sudah terlalu lama terbengkalai.
 
 "Di sekitar kawasan tersebut juga sudah tiada papan tanda pemaju yang 
    mengendalikan projek perumahan itu dan ini membuktikan ia sudah lama terbiar," 
    katanya.
 
 Seorang lagi penduduk yang kerap melalui jalan itu, Mohammad Noor Mat Aroff, 
    22, berpendapat bangunan tersebut harus dirobohkan sahaja kerana bimbang ia 
    akan dijadikan tempat untuk perkara tidak sihat.
 
 "Perkara ini saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukannya, 
    sekiranya hendak dirobohkan atau dikekalkan.
 
 "Apa yang penting sekarang ini adalah tindakan segera harus diambil bagi 
    membendung kegiatan yang tidak bermoral dan sekiranya dibiarkan begitu 
    sahaja maka ia akan hanya mencacatkan pemandangan di pekan ini," jelasnya.
 |