This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kondominium terbiar cemar pemandangan
02/12/2008 Utusan Online By Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir


TERBENGKALAI... Kondominium Sri Angsana Hilir Ampang terus terbiar hampir 10 tahun dan kawasan tersebut kini dipenuhi sampah sarap serta pokok-pokok liar di sekeliling bangunan itu.
- Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Cukup singkat masa berlalu. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat satu demi satu bangunan terbengkalai di ibu negara sejak 10 tahun sampai sekarang, masih gagal dipulihkan.

Bukan satu atau dua projek yang terbengkalai sebaliknya berpuluh-puluh projek daripada skala kecil, sederhana dan besar ekoran kegawatan 1998 yang menjejaskan banyak negara di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Hari ini, dunia sekali lagi mengalami kemelesetan ekonomi yang sudah pun menjejaskan banyak negara.

Justeru melihat keadaan kondominium terbiar di Taman Angsana Hilir, Ampang sejak 10 tahun lalu, nasibnya akan terus begitu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tanpa sebarang penjagaan, pelbagai aktiviti tidak sihat dan berisiko boleh berlaku di situ tanpa pengetahuan orang ramai.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan tersebut pasti akan melihat pemandangan kondominium 23 tingkat itu bagaikan berpuaka.

Disebabkan terlalu lama terbengkalai dan terdedah kepada perubahan cuaca, struktur binaan bangunan itu banyak yang sudah rosak dan tidak boleh diguna lagi.

Kawasan sekitar bangunan berkenaan yang ditumbuhi lalang dan pokok-pokok liar membuktikan bangunan tersebut telah lama terbiar.

Bangunan yang terbiar sejak hampir sedekad lalu itu, dikhuatiri menjadi tempat melepak golongan yang tidak bertanggungjawab kerana mendapati ia lebih 'selamat' berbanding kawasan lain.

Kondominium tersebut tidak berpagar, menjadikan ia mudah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab masuk ke bangunan itu untuk menjalankan aktiviti tidak sihat.

Di sekitar bangunan berkenaan juga dilihat tidak ubah seperti kawasan pembuangan sampah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai sampah termasuk sampah domestik dan sampah pembinaan.

Kesan daripada pembuangan sampah yang tidak terkawal di kawasan itu menjadikan tempat pembiakan nyamuk kerana kebanyakan sampah di situ menjadikannya tempat takungan air pada waktu hujan.

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di situ, infrastruktur seperti longkang dan pondok pengawal keselamatan juga sudah rosak kerana terlalu lama terbiar tanpa sebarang usaha untuk menjaga dan membaik pulih bangunan itu.

Lebih membimbangkan, kawasan berkenaan juga dipenuhi dengan semak samun yang semakin tebal dan ia dilihat berpotensi menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa seperti ular sekiranya tidak diberikan perhatian.

Daripada pemerhatian yang dilakukan, struktur bangunan tersebut didapati masih lagi kukuh tetapi sudah kelihatan uzur dan buruk akibat lama terbiar.

Utusan Malaysia difahamkan, projek berkenaan dimulakan pada sekitar tahun 1993 oleh Crimson Development Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Kabara Holding Sdn. Bhd.) dan Surplus Enterprise dan terbengkalai pada 1997 akibat kegawatan ekonomi.

Pembinaannya terhenti di situ sahaja dan sehingga ke hari ini tiada pihak atau pemaju yang cuba untuk meneruskan pembangunan projek tersebut.

Pada mulanya, projek berkenaan dibina mengikut dua fasa, fasa pertama yang mengandungi tiga blok kondominium setinggi 23 tingkat dapat disiapkan sepenuhnya pada sekitar 1997.

Pemerhatian di dalam bangunan turut mendapati, dinding bangunan itu dipenuhi dengan contengan serta dipenuhi dengan sampah pembinaan.

Selain itu, kawasan dalam bangunan itu juga terdapat pakaian-pakaian lama serta perabot-perabot yang telah rosak dipercayai pernah digunakan oleh individu tertentu yang menjadikan bangunan itu sebagai tempat berteduh.

Pada waktu malam, kawasan itu gelap-gelita kerana tidak ada sebarang lampu menerangi bangunan itu, menjadikannya sesuai untuk kegiatan tidak sihat termasuk dijadikan tempat berteduh kutu rayau.

Bimbang kegiatan jenayah menjadi lebih serius, penduduk menggesa pihak bertanggungjawab membersihkan kawasan berkenaan dengan segera.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.