Berapa tahun lagi perlu tunggu?
09/12/2008 Utusan Online Oleh
Siti Maisarah Sheikh Abdul Rahim
SEBAHAGIAN pembeli menunjukkan projek pembinaan rumah mereka yang
terbengkalai di Presint 11, Putrajaya, ketika ditemui baru-baru ini. -
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI
PUTRAJAYA 8 Dis. - Jika sekali fikir, tidak mungkin wilayah pentadbiran
kerajaan di Putrajaya harus menghadapi situasi yang boleh menjejaskan
reputasi dan nama baik bandar terpenting itu apatah lagi membabitkan
beberapa projek tidak siap.
Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku apabila sebanyak 211 pembeli rumah di
Presint 11 di sini terpaksa menunggu bertahun-tahun lagi untuk memiliki
rumah yang dijanjikan siap tiga tahun lalu.
Projek perumahan yang dulunya dikendalikan di bawah kontraktor Ariff Cerah
Sdn. Bhd. (ASCB), anak syarikat Perembajaya Holdings Sdn. Bhd., kini
dihentikan tanpa pemaju setelah Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJH)
menangguhkan hasrat untuk mengambil alih projek itu.
Bimbang dengan situasi itu, beberapa pembeli rumah tampil menyatakan
kekesalan mereka atas sikap lepas tangan beberapa pihak yang menghentikan
projek tersebut tanpa sebab.
Menurut Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Presint 11, Dr. Abdul Onny Yahya,
projek perumahan yang dimulakan pada tahun 2002 itu sepatutnya mula
diserahkan kepada pembeli tiga tahun selepas itu.
Bermula dari tahun itu, menurut Onny, pembeli sudah mula membuat ansuran
pinjaman perumahan walaupun sekadar bayangan untuk memiliki rumah itu.
Bagaimanapun, hasil keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, jelas Onny, pada Mei lalu, pembeli telah dijemput
menghadiri mesyuarat bersama pemaju untuk meminta persetujuan membenarkan
PJH mengambil alih projek dari ACSB.
"Kami telah bersetuju dan menandatangani perjanjian jual beli yang baru
dengan pemaju baru iaitu PJH dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
"Berikutan itu, PJH telah diarahkan untuk mengambil alih projek ini
seterusnya memulakan kerja pemulihan yang terbengkalai namun sehingga kini
PJH masih tidak meneruskan projek ini," katanya kesal.
Onny berkata, kesemua pembeli berasa kesal kerana projek ini masih juga
tergendala walaupun syarat-syarat yang ditetapkan telah pun dipersetujui
sehinggakan terpaksa menghabiskan masa bagi menuntut hak dan pembelaan.
"Kami sudah bersetuju dengan semua syarat yang ditetapkan jadi tidak ada
sebab kenapa ia masih tertangguh," tegasnya.
Projek perumahan yang terbengkalai itu merupakan projek persendirian
membabitkan lima buah projek pembinaan iaitu Garden Resort, Amber Homes,
Saujana Aster, Citrine S/D yang termasuk pembinaan lot kedai dan ruang
pejabat.
"Ada di antara projek ini sudah 80 peratus siap tetapi ada juga yang baru
mencapai 30 peratus pembinaannya.
"Kami merayu supaya projek ini diteruskan kerana kami beli rumah ini untuk
diduduki bukan untuk tujuan lain," katanya.
Salah seorang pembeli, Azali Adnan, 47, berkata, beliau tidak menyangka sama
sekali apatah lagi terlintas di fikiran bahawa projek perumahan di Putrajaya
itu akan terbabit dalam masalah projek terbengkalai.
"Saya yakin untuk membeli rumah di sini memandangkan Putrajaya adalah sebuah
bandar pentadbiran kerajaan yang tidak mungkin berlaku masalah sebegini.
"Jika terdapat projek tidak siap seperti ini akan memburukkan pemandangan
dan memberikan imej yang tidak baik kepada Putrajaya," katanya.
Seorang lagi pembeli, Shafiq Azam, 29, turut menyuarakan kebimbangan jika
projek tersebut terus dilengahkan kemungkinan pemaju yang diamanahkan akan
diisytiharkan muflis.
"Bagaimana dengan nasib kami jika pemaju itu diisytiharkan muflis?
"Sebelum perkara ini berlaku, kami mohon sangat projek ini diterus dan
disiapkan. Kami tidak mahu salahkan sesiapa dan sedia bertemu semula dengan
pemaju jika masih tidak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan oleh
mereka sendiri," katanya.
Seorang lagi mangsa, Ismadee Ismail, 38, menceritakan kekecewaan keluarga
seorang pembeli yang tidak sempat menduduki rumah barunya kerana telah
meninggal dunia.
"Keluarga Allahyarham sangat kecewa dengan hal ini, jadi kami tidak mahu
pelbagai lagi perkara yang tidak diingini berlaku.
"Ada juga di antara kami akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi,
besarlah harapan kami agar projek perumahan ini segera diteruskan," rayu
beliau.
Baru-baru ini, masalah projek perumahan terbengkalai di Presint 11 turut
dibangkitkan oleh 14 subkontraktor yang terlibat kepada Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berikutan tunggakan hutang yang tidak
dibayar oleh PJH kepada mereka.
Atas usaha Murugiah mengaturkan satu mesyuarat yang turut dihadiri Biro
Pengaduan Awam (BPA) dan subkontraktor berkenaan, PJH membuat persetujuan
bersyarat untuk membayar hutang tertunggak sebanyak RM33 juta.
Sebelum itu, kesemua subkontraktor tersebut yang terlibat dengan projek
pembangunan 444 unit rumah kuarters kerajaan di Presint 11 di Putrajaya
tetapi gagal menerima bayaran daripada PJH telah membuat aduan melalui laman
web Warkah Untuk PM.
PJH merupakan pemegang saham sebanyak 30 peratus dalam projek itu bersama
Perembajaya Holdings.
Masalah yang dibangkitkan oleh subkontraktor tersebut merupakan projek
perumahan membabitkan kuarters kerajaan tetapi mungkin pihak kementerian
terlepas pandang bahawa ia turut melibatkan projek perumahan persendirian.
Wakil PJH, sewaktu mesyuarat berasingan bersama penduduk di Universiti Putra
Malaysia (UPM) baru-baru ini, hanya memaklumkan bahawa masalah berkenaan
akan dibawa ke pengetahuan menteri untuk menunggu arahan selanjutnya dan
sehingga kini penduduk masih belum mendapat sebarang makluman mengenai
status masalah mereka.
Projek perumahan terbengkalai semakin kerap didengari akibat beberapa pemaju
berdepan dengan masalah kewangan. Dalam hal ini siapakah yang harus
dipertanggungjawabkan - pemaju atau kerajaan.
Namun yang pasti mangsa kepada masalah ini ialah pembeli yang menaruh
keyakinan dan harapan tinggi untuk memiliki sebuah rumah yang selesa bagi
membina keluarga setelah berusaha keras dan sanggup berhutang tanpa
menjangka hutang perlu dibayar tetapi rumah entah bila siapnya.
|