Sampai bila nak tunggu...
13/11/2008 Utusan Online Oleh NOR
AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
Penduduk yang sepatutnya menduduki rumah PPRT di Kepong mendesak kerajaan
menyegerakan pemindahan mereka ke situ, baru-baru ini.
- Gambar ZAKARIA IDRIS
KEPONG 12 Nov. - Masalah rumah terbengkalai merupakan salah satu isu yang
sentiasa meresahkan para pembeli berikutan wujud beberapa kes sejak
kebelakangan ini.
Biasanya, kes rumah tidak siap ini berlaku akibat kegagalan pemaju
menyediakan pembiayaan mencukupi untuk menyelesaikan pembinaannya.
Namun, di Kepong, kes rumah terbengkalai ini melibatkan projek di bawah
Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diketahui adalah sebuah
projek kerajaan Persekutuan.
Pembeli mendakwa projek yang sudah melebihi 90 peratus siap itu telah
terbengkalai sejak hampir empat tahun lalu.
Pembeli juga mendakwa kegagalan kontraktor menyediakan kemudahan asas
seperti bekalan air dan elektrik menyebabkan sijil layak menduduki (CF)
tidak boleh dikeluarkan dan menyebabkan penduduk tidak boleh mendiami rumah
mereka.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Kepong, Yee Poh Ping berkata,
projek tersebut sepatutnya boleh diduduki pada Januari 2005.
Beliau menjelaskan, para penduduk setinggan di sini menerima arahan untuk
berpindah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2002 dan
mereka diberikan penempatan sementara di PPRT Taman Wahyu sementara menanti
rumah mereka itu disiapkan.
"Tetapi penduduk di sini ternyata kecewa kerana setelah lebih daripada enam
tahun menunggu, rumah yang dijanjikan masih belum siap sehingga ke hari ini.
"Apabila saya menghubungi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(KPKT), pegawai mereka hanya mengatakan rumah itu akan disiapkan dalam
tempoh terdekat.
"Tetapi janji hanya tinggal janji dan jika ia dibiarkan berlarutan, kes itu
akan memberikan imej yang buruk kepada KPKT," katanya ketika ditemui selepas
meninjau projek tersebut bersama beberapa penduduk di sini.
Poh Ping memberitahu, projek itu dilaksanakan bagi menempatkan penduduk di
empat buah penempatan setinggan di sekitar Kepong dan Jinjang.
Beliau memberitahu, pihaknya juga telah menghubungi DBKL untuk bertanyakan
status projek berkenaan dan mereka menjelaskan projek itu masih lagi di
bawah seliaan KPKT.
"Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan DBKL, sebaliknya KPKT harus
dipersalahkan kerana gagal menunaikan janji mereka untuk menyiapkan projek
ini.
"Jika begini keadaannya, boleh saya katakan bahawa program setinggan sifar
anjuran kerajaan boleh menemui kegagalan," tegasnya.
Beliau berharap kerajaan akan mengambil tindakan segera terhadap masalah itu
kerana projek perumahan tersebut melibatkan mereka yang terdiri daripada
golongan berpendapatan rendah.
Sementara itu, seorang penduduk, Low Sek Chan, 67, berharap pihak kerajaan
dapat menyegerakan penyiapan projek tersebut kerana sudah terlalu lama
penduduk menanti untuk mendiami rumah berkenaan.
"Kami pernah mengajukan perkara ini kepada Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan
Seng Giaw untuk mendapatkan bantuan tetapi sampai ke hari ini masih belum
ada sebarang perkembangan.
"Pelbagai borang sudah diisi, pelbagai surat sudah dihantar kepada pelbagai
pihak namun sampai sekarang jawapannya tetap sama, kami perlu menunggu untuk
satu tempoh yang kami sendiri tidak pasti," katanya.
Seorang lagi penduduk, Michael Lee, 59, berkata, KPKT pernah berjanji projek
tersebut akan siap sepenuhnya pada Ogos 2008 tetapi sehingga ke hari ini ia
masih lagi tidak boleh diduduki.
Jelasnya, bangunan tersebut secara keseluruhannya sudah siap sepenuhnya dan
hanya masalah bekalan air serta elektrik masih belum disalurkan, sekali gus
merupakan punca utama penduduk tidak boleh menduduki rumah berkenaan.
"Kami pun tidak pasti sampai bila kami harus menanti dan sudah tidak tahu
apa yang perlu kami lakukan lagi untuk membolehkan kami menduduki rumah kami,"
jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Wong Chong Ming, 63, berharap rumah itu dapat
diduduki segera penduduk sudah tidak sanggup lagi untuk tinggal di Taman
Wahyu.
Katanya, rumah mereka di Taman Wahyu terletak agak jauh dari pekan Kepong
sedangkan kebanyakan penduduk bekerja dan berniaga di pekan tersebut.