Rumah teres terbiar cacatkan
pemandangan
09/11/2008 Utusan Online
KEADAAN rumah teres yang terbengkalai di Saleng, Senai dekat Johor Bahru,
semalam.
JOHOR BAHRU 8 Nov. - Melihat keadaan rumah teres dua tingkat yang terbiar
begitu sahaja, pelbagai aktiviti tidak sihat boleh berlaku di situ.
Bagi orang ramai yang memandu melalui Jalan Saleng untuk menuju ke Kulaijaya,
mereka pasti melihatkan pemandangan rumah terbengkalai berkenaan di sebelah
kiri.
Mingguan Malaysia difahamkan projek perumahan tersebut telah terbiar hampir
20 tahun lalu.
Disebabkan terlalu lama terbengkalai dan terdedah kepada perubahan alam,
maka struktur binaan bangunan itu banyak yang sudah rosak dan tidak boleh
diguna lagi.
Dinding rumah tersebut juga telah ditumbuhi lumut, manakala pintu dan atap
ada yang tercabut serta banyak sampah-sarap dilonggok di dalam dan di
sekitarnya.
Paling membimbangkan penduduk setempat jika rumah yang mempunyai dua bilik
itu menjadi tempat penagih dadah atau orang yang tidak bertanggungjawab
untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.
Seorang penduduk tempatan, S. Madhevan, 48, yang berulang-alik melalui
kawasan tersebut berkata, pada waktu malam, suasana di sekitar perumahan
terbengkalai itu amat menyeramkan.
"Sebenarnya dulu, ramai yang tidak berapa perasaan dengan projek perumahan
itu kerana kiri kanan hutan. Kini apabila kawasan tersebut dibersihkan
barulah nampak rumah-rumah yang terbengkalai itu," katanya.
Menurutnya, di sekitar kawasan tersebut juga sudah tiada papan tanda pemaju
yang mengendalikan projek perumahan itu.
Sebaliknya, kawasan perumahan itu dijadikan tempat pembuangan sampah-sarap
haram seperti sisa buangan binaan.
Justeru, Madhevan berharap pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab
terhadap kawasan berkenaan akan mengambil tindakan tertentu termasuk
merobohkan bangunan usang yang tidak berfungsi itu bagi memastikan kawasan
tersebut bebas daripada kegiatan kurang sihat.