Projek rumah Desa Indah
terbengkalai
10/11/2008 Utusan Online Oleh HUSSAINI AMRAN
Sebahagian projek yang telah tiga tahun terbengkalai di Desa Indah, Lubuk
Cina, Rembau, Negeri Sembilan.
REMBAU 9 Nov. - Pembeli 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit
rumah teres kos rendah di Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini, kesal dengan
kegagalan pemaju menyiapkan projek itu yang telah tiga tahun terbengkalai.
Seorang pembeli, Ibrahim Mahat, 38, berkata, projek perumahan itu sepatutnya
siap pada November 2005, namun sehingga hari ini pembeli-pembeli hanya mampu
menggigit jari kerana tidak dapat mendiami rumah milik sendiri.
Menurutnya, sebahagian besar pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah
dan mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan antara RM200 hingga
RM400 sebulan kepada pihak bank walaupun rumah tidak disiapkan.
''Pada masa ini, saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mertua
kerana tidak mampu lagi menyewa rumah," katanya ketika ditemui Utusan
Malaysia di tapak projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini hari
ini.
Ibrahim berkata, aduan berhubung projek perumahan berkenaan pernah
dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),
kerajaan negeri serta Biro Pengaduan Awam (BPA) pada tahun 2006 dan 2007.
Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tidak kelihatan tanda-tanda
pemaju akan menyambung semula pembinaan projek perumahan Desa Indah.
Justeru, Ibrahim berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan proaktif
bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya dan
pembeli-pembeli lain.
Menurut pembeli, Siti Ayub, 48, sebelum ini beliau pernah menghadapi masalah
serupa di sebuah projek perumahan di Kuala Lumpur.
Katanya, projek perumahan yang terbengkalai itu berjaya dipulihkan dan
beliau melihat agensi-agensi kerajaan terbabit serta pemaju memberi komitmen
tinggi dalam menyelesaikan masalah itu.
''Namun lain pula halnya di sini. Nasib kami seolah-olah tidak dipedulikan
dan lebih malang lagi, sejak tahun 2006 saya dikehendaki membayar cukai
tanah untuk rumah yang tidak siap," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak-pihak berkaitan mengambil
tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini agar pembeli tidak
teraniaya.
Seorang pembeli lain, Anas Haiza Hamid, 28, memberitahu, sebanyak RM6,000
wang pendahuluan dibayar kepada pemaju untuk pembelian rumah kos rendah di
projek perumahan tersebut.
Beliau berkata, jumlah itu agak besar kepadanya yang bekerja di sebuah
kilang dekat Alor Gajah, Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
''Saya mengambil masa bertahun-tahun kumpulkan duit sebanyak RM6,000. Sudah
tentu saya marah dan kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak pemaju,"
katanya.
Sementara itu pembeli, Mohd. Afandi Omar, 31, berkata, pemaju pernah
berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli berhubung status projek
perumahan Desa Indah.
''Namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji. Pemaju seperti ingin
mempermain-mainkan kami," ujarnya.
Mohd. Afandi yang tinggal berhampiran dengan kawasan projek perumahan itu
berkata, rumah-rumah yang terbengkalai itu kini menjadi tempat nyamuk
membiak selain sarang penagih dadah dan lain-lain aktiviti tidak bermoral. |