This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Jumpa di mahkamah...
11/11/2008 Utusan Online Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

TERBIAR... semak-samun yang semakin meninggi dan penutup besi yang hilang adalah pemandangan biasa di projek Lestari Permai, Puchong sejak ia terbengkalai tiga tahun lalu. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

PUCHONG 10 Nov. - Kesabaran pembeli rumah di Lestari Permai di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu akhirnya sampai ke kemuncaknya.

Mereka sudah tidak sanggup lagi menunggu dan terus dipermainkan tetapi apa yang lebih mendesak mereka mengambil tindakan drastik dan tegas ialah tidak sanggup lagi menanggung beban kewangan yang tinggi.

Kata mereka, jika mereka terus menunggu dan mengharap, beban mereka akan bertambah besar terutama dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembeli Lestari Permai memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju, sebagai jalan penyelesaian muktamad kepada masalah tersebut.

Pengerusinya, Mat Ali Hanafiah Mohamed berkata, beberapa peguam memberitahu, pembeli mempunyai kes yang kukuh untuk mengheret pemaju ke mahkamah kerana adalah jelas pemaju gagal menyiapkan projek perumahan seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli yang ditandatangani pada 2003 lalu.

Menurutnya, majoriti pembeli, yang tertekan melihat rumah mereka masih terbengkalai hingga ke hari ini, juga bersetuju untuk mengambil tindakan itu selepas satu pertemuan dan perbincangan diadakan baru-baru ini.

"Kita kini sedang berusaha mendapatkan persetujuan daripada semua pembeli dan selepas itu, kita akan lantik peguam untuk kita teruskan tindakan undang-undang ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian pembeli di projek itu.

Mat Ali Hanafiah berkata, pihaknya bukan tidak memberi peluang kepada pemaju untuk menyiapkan projek itu tetapi selepas pelbagai rundingan dan pertemuan telah diadakan termasuk dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri Selangor, masalah itu masih juga gagal diselesaikan.

"Kami merasakan tindakan yang bakal diambil ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik memandangkan semua pihak hanya tahu berjanji dan terus berjanji tanpa ada kesudahan kepada masalah kami ini.

"Sekiranya pemaju ingin memberikan jawapan atau sebarang janji selepas ini, mereka boleh melakukannya di mahkamah dan biar mahkamah memutuskan apakah tindakan yang wajar mereka lakukan," tegasnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan masalah yang dihadapi oleh para pembeli terbabit dan juga beberapa siri perundingan yang diadakan dengan pemaju.

Antara alasan yang diberikan kepada pembeli ialah pemaju dalam proses menukar kontraktor, namun selepas lebih tiga kali kontraktor bertukar, projek tersebut tetap terbengkalai sehingga ke hari ini.

Naib Presiden Bahagian Khidmat Pelanggan Talam Corporation, Michael Khor dilaporkan berkata, pihaknya sedang menghadapi masalah kekurangan dana untuk meneruskan projek berkenaan kesan daripada kenaikan harga bahan mentah sekitar 30 peratus.

Katanya, kontraktor yang dilantik untuk meneruskan projek tersebut juga telah menarik diri kerana tidak sanggup untuk menanggung kerugian kesan daripada kenaikan harga barang-barang tersebut.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk menjual beberapa aset seperti hartanah sedia ada untuk mendapatkan modal untuk meneruskan projek-projek tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rumah-rumah di Lestari Permai yang sebahagiannya sudah 80 peratus siap, semakin tidak terurus.

Mat Ali Hanafiah menambah, pihaknya juga telah mengadakan beberapa pertemuan dengan KPKT dan mengharapkan akan ada tindakan tegas dari kementerian itu tetapi sehingga ke hari ini, masalah itu tidak juga selesai.

Jelasnya, KPKT juga hanya akan memberikan janji-janji manis dan memberikan satu tempoh baru untuk projek tersebut disiapkan dan hasilnya tetap sama.

Katanya, apa yang tidak mereka fikirkan ialah pembeli terpaksa membayar antara RM800 hingga RM1,500 untuk ansuran rumah yang terbengkalai itu dan pada masa yang sama terpaksa terus menanggung kos rumah sewa.

"Kami juga ada banyak lagi benda yang perlu kami tanggung dan semua ini semakin membebankan.

"Sejak 2005 sehingga ke hari ini, semua pihak hanya tahu berjanji tetapi tidak mengotakan janji-janji mereka dan kami sudah tidak tahu bagaimana untuk menyatakan perasaan kami pada waktu ini," jelasnya.

Katanya, para pembeli sudah bosan dengan janji-janji yang diberikan dan majoriti penduduk sudah bersetuju untuk memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi daripada pihak pemaju.

"Kami sudah tidak sanggup untuk menghadapi semua ini lagi dan kami akan menyerahkan kepada mahkamah sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap mereka," jelasnya.

"Kami hanya mahukan rumah kami... itu sahaja,'' katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.