Penduduk mahu MPAJ bertindak
segera
09/10/2008 Utusan Online
AMPANG 8 Okt. - Penduduk Taman Kencana yang ditemui Utusan Malaysia di sini
hari ini menggesa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membantu mereka
mengatasi masalah yang timbul daripada sebuah projek terbengkalai di kawasan
itu.
Kata mereka, masalah itu telah terlalu lama membelenggu kehidupan mereka.
Mereka ternyata kecewa dengan sikap tidak peka dan tidak prihatin pihak
berkuasa tempatan itu terhadap masalah itu sehingga ia menjadi semakin teruk
sekarang ini.
"Bukan baru sebulan dua masalah ini berlaku tetapi ia sudah berlarutan sejak
hampir 10 tahun, namun tiada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa.
"Penduduk sudah membuat beberapa aduan kepada MPAJ untuk diambil tindakan
tetapi tiada sebarang tindakan diambil setakat ini," dakwa mereka.
Seorang penduduk, Loo Swiee Ching, 50, yang sudah hampir 15 tahun menetap di
taman itu, berkata, projek terbengkalai itu memang memberi masalah kepada
penduduk yang berhampiran.
Katanya, sudah ia menjadikan pemandangan di kawasan buruk, projek itu juga
menjadi punca kepada beberapa masalah lain.
"Saya dan keluarga sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk yang sekian lama
mengganggu kami.
"Pada waktu malam, kami akan 'diserang' nyamuk walaupun sudah memasang ubat
nyamuk. Saya tidak tahu lagi apa yang hendak dibuat,'' katanya di sini
mengakui ada petugas MPAJ yang hanya melawat kawasan itu tanpa membuat
tindakan.
Tambahnya lagi, keadaan rumah yang terbengkalai itu dan dipenuhi dengan
pokok dan tumbuh yang tumbuh meliar dipercayai menjadi sarang pembiakan
nyamuk.
Dia menambah, ada juga penduduk di situ menghidap demam denggi.
Sehubungan itu, dia mencadangkan kepada MPAJ supaya meruntuhkan rumah yang
terbengkalai itu atau mencari pemaju lain bagi membolehkan projek itu
disiapkan.
Seorang lagi penduduk, Sheirly Eng, 70, berkata, kawasan itu bukan sahaja
menjadi kawasan pembiakan nyamuk bahkan sudah menjadi tapak pembuangan
sampah haram.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan itu kini berbau busuk sehingga
mengganggu kehidupan penduduk.
Dia berkata, kontraktor pengutip sampah juga tidak akan membersihkan kawasan
itu kerana ia di luar bidang kuasa mereka.
"Tak kan penduduk di sini pula yang perlu membersihkannya kerana bukan kami
yang membuang sampah di situ," katanya yang malu kerana saudara-maranya
pernah bertanyakan mengapa kawasan rumahnya berbau busuk.
Sheirly menambah, projek yang terbengkalai itu juga harus mendapat perhatian
segera daripada MPAJ supaya dapat dibersihkan.
"Semak dengan pokok yang semakin meninggi hari demi hari juga menimbulkan
rasa takut di kalangan kami.
"Walaupun pihak MPAJ telah membina pagar daripada zink daripada dicerobohi
tetapi kini pagar itu ada yang runtuh disebabkan dahan pokok yang semakin
besar dan menolak pagar itu,'' katanya.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, suaminya dan
beberapa penduduk berhampiran pernah mengambil inisiatif membersihkan
sebahagian kawasan itu untuk mengelakkan ia menjadi sarang pembiakan nyamuk.
Namun, tambahnya, usaha tidak dapat bertahan lama kerana semak-samun dan
pokok-pokok di situ cepat membesar dan mereka juga tidak mempunyai banyak
masa untuk membersihkan kawasan itu dengan kerap.
"MPAJ sepatutnya perlu ambil tindakan dengan segera. Kami di sini sedia
membantu," katanya.
|