This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk Puncak Jalil akhirnya dapat bekalan air
01/10/2008 Utusan Malaysia Oleh Muahammad Dayne Azmin

PUCHONG 30 Sept. - Bagi penduduk di beberapa fasa Taman Puncak Jalil, tiada perkara yang lebih menggembirakan menjelang Aidilfitri ini selain daripada mendapat bekalan air secara sah.

Setelah sekian lama menanti, penduduk di Fasa 9D, 9E, 7E, 7D, 9F dan 18 akhirnya mendapat bekalan itu setelah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memasang meter air di kediaman mereka baru-baru ini.

Penduduk ternyata gembira kerana pemasangan meter air berkenaan dilakukan sebelum hari raya.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia yang menyiarkan kisah 'penderitaan' mereka itu baru-baru ini sehingga mendapat perhatian daripada Syabas.

Salah seorang penduduk, Anuar Mahmud, 30, berkata, setelah enam bulan tinggal di situ, baru kini dia mendapat bekalan air secara sah dan tidak perlu risau bekalan dipotong lagi.

"Sudah banyak kali saya telefon pihak Syabas dan juga pihak pemaju tetapi mereka tidak pernah memberikan jawapan yang pasti.

"Saya pun tidak suka menggunakan air secara tidak sah namun kami sekeluarga tiada pilihan,'' katanya.

Bagi Anuar, pemasangan meter air itu seolah-olah hadiah Aidilifitri daripada Syabas kepada penduduk dan dia bersyukur kerana masalah itu selesai juga akhirnya.

Pada 8 September lepas, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kesengsaraan 658 pemilik rumah di Taman Puncak Jalil yang tidak mempunyai meter air.

Ia dikatakan berpunca dari kegagalan pihak pemaju memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Syabas.

Berikutan itu, penduduk terpaksa mencuri bekalan air dengan menyambungkan paip utama ke paip rumah masing-masing tanpa menggunakan meter walaupun menyedari ia satu kesalahan.

Walaupun sudah diberi amaran dan dipotong bekalan berulang kali oleh Syabas, namun mereka tidak serik memandangkan hanya itu sahaja pilihan yang ada.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Derry Sak, 40, melahirkan rasa terkejut dengan pemasangan meter air tersebut kerana tidak menyangka pihak Syabas akan berbuat demikian.

"Sebenarnya saya baru dalam proses hendak berpindah ke sini, tidak sangka setelah dibawa perkara ini ke pengetahuan media, barulah ada jalan penyelesaian,'' katanya.

Pada pendapatnya, pihak Syabas dan pemaju perlulah mengutamakan kepentingan penghuni Taman Puncak Jalil terlebih dahulu sebelum membuat apa jua tindakan.

"Harus diingat, penghuni di sini telah membayar wang cagaran pemasangan meter dan tidak sewajarnya penduduk menjadi mangsa masalah teknikal dan pertikaian antara pemaju dan Syabas," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.