Pembeli hilang sabar
21/10/2008 Utusan Online Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
PROJEK perumahan La Cottage Putra Perdana, Puchong terhenti pada tahap 80
peratus.
PUCHONG 20 Okt. - Masalah rumah terbengkalai bukan lagi satu isu baru, malah
ia tidak lagi menjadi isu yang dikejar- kejar sama ada media cetak mahupun
media elektronik.
Namun, jalan penyelesaian muktamad kepada isu tersebut tidak pernah dapat
dicapai menyebabkan banyak projek terbengkalai terus terbengkalai sehingga
bertahun-tahun lamanya.
Bagi pihak pembeli pula, kesabaran mereka akhirnya sampai ke kemuncaknya dan
mereka mula membentuk jawatankuasa untuk menuntut hak mereka.
Bagi mengelak daripada serangan dan maki hamun pembeli terbabit, pemaju
sering menyalahkan kenaikan harga bahan binaan serta menghadapi masalah
kewangan sebagai alasan.
Namun, alasan itu tidak akan dapat membendung kemarahan pembeli kerana
mereka juga telah bergolok-gadai untuk membeli rumah dan sebahagiannya
semakin menderita kerana terpaksa terus membayar sewa rumah yang diduduki.
Masalah yang sama turut menghantui 569 keluarga yang telah menunggu hampir
lima tahun untuk mendapatkan rumah idaman mereka di La Cottage Putra Perdana
di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir 700 buah rumah di kawasan tersebut
dihentikan pembinaannya walaupun ada di antaranya telah hampir 80 peratus
siap.
Menurut penduduk, projek berkenaan sepatutnya siap antara tahun 2002 hingga
2004 lalu tetapi sehingga kini, pembeli hanya menggigit jari apabila rumah
yang diidamkan terbiar tanpa disiapkan.
Lebih memburukkan keadaan, pemaju yang sebelum ini lantang mempromosikan
projek perumahan tersebut tidak bersungguh- sungguh untuk mencari jalan
penyelesaian kepada masalah itu.
Selain itu, pemaju juga hanya memberi janji-janji manis kepada penduduk
untuk menyiapkan rumah berkenaan dalam satu tempoh baru yang ditetapkan.
Mereka juga meminta supaya pembeli membenarkan mereka menangguhkan
pembayaran ganti rugi akibat kelewatan menyiapkan kediaman tersebut.
Namun, penduduk yang enggan pisang berbuah dua kali bertegas agar pemaju
bertanggungjawab terhadap kelewatan pembinaan rumah berkenaan.
Wakil Jawatankuasa Bertindak La Cottage Putra Perdana, Zulita Saad, 31,
berkata, pemaju perlu memenuhi syarat yang penduduk cadangkan baru-baru ini.
Antara syarat itu ialah pemaju dikehendaki memberikan satu jaminan bertulis
bahawa mereka akan menyiapkan Fasa 1C, 1D, 1F dan 1G masing-masing dalam
tempoh tujuh bulan, tiga bulan, sembilan bulan dan 11 bulan.
"Jawatankuasa yang mewakili penduduk juga mahu pemaju membayar pendahuluan
sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah ganti rugi atas kegagalan
mereka menyiapkannya mengikut jadual seperti yang termaktub dalam perjanjian
jual beli (S&P)," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, syarat itu adalah untuk memastikan pemaju tidak lagi memungkiri
perjanjian jual beli seperti sebelumnya, sekali gus menghalang mereka
daripada bersikap lepas tangan terhadap tanggungjawab kepada kumpulan
pembeli yang membelanjakan sehingga RM200,000 bagi sebuah unit kediaman di
La Cottage.
"Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali dan dianiaya lagi. Pemaju tidak
boleh memberikan alasan kenaikan harga bahan binaan atau kontraktor utama
mereka gagal menjalankan kerja atau apa sahaja.
"Malah, alasan bahawa mereka tidak punya sumber kewangan untuk menyiapkan
projek itu juga sukar kami terima," tegasnya.
Difahamkan, pemaju hanya mula memujuk pembeli setelah ia berada dalam
keadaan terdesak berikutan lesennya sebagai pemaju projek hartanah digantung
oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Zulita memberitahu, sebelum ini, satu perjumpaan dengan pemaju telah
diadakan tetapi pembeli meragui kejujuran pemaju untuk melaksanakan
tanggungjawab mereka, apatah lagi tiada seorang pun pegawai tertinggi pemaju
hadir pada perjumpaan itu.
Katanya, beberapa soalan yang dikemukakan oleh pembeli gagal dijawab dengan
meyakinkan oleh wakil pemaju terutama dari segi kedudukan kewangan pemaju
sedangkan mereka menjanjikan satu tempoh baru untuk menyiapkan projek itu. |