MPAJ akan bersihkan projek
terbengkalai
13/10/2008 Utusan Online
AMPANG Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengambil tindakan segera
dengan memantau serta membersihkan kawasan projek perumahan yang
terbengkalai di Taman Kencana, Pandan Indah di sini.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad ketika dihubungi berkata,
pihaknya menyedari masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan itu dan telah
pun mengambil tindakan yang sama sebelum ini.
Namun, katanya, mungkin pihaknya terlepas pandang masalah itu menyebabkan
kawasan itu kembali diliputi semak-samun dan menjadi tempat pembuangan
sampah.
"Kami akan membersihkan kawasan itu bagi memastikan keselesaan penduduk di
kawasan perumahan tersebut.
"Selain itu, kami juga akan menyembur asap (fogging) di kawasan itu bagi
mengurangkan nyamuk dan mengekang pembiakannya di Taman Kencana dan Taman
Muda," katanya.
Norhayati berkata, projek itu dimulakan pada 1992 tetapi ditinggalkan oleh
pemajunya tidak lama kemudian dipercayai akibat masalah kewangan.
Katanya, MPAJ juga gagal mengesan pemaju projek itu dan akan memikirkan
tindakan yang sesuai terhadap projek itu jika pemajunya terus gagal dikenal
pasti.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan penduduk Taman Muda
apabila projek perumahan yang terbengkalai itu menjadi sarang pembiakan
nyamuk dan tapak pembuangan sampah haram.
Penduduk di kawasan perumahan itu sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk
yang didakwa semakin serius sejak kebelakangan ini.
|