Siasat kontraktor RMR -
Noraini
29/09/2008 Utusan Malaysia
BATU PAHAT 28 Sept. - Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad
menyarankan agar Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiasat secara
terperinci setiap kontraktor yang diberi kepercayaan untuk membina Rumah
Mesra Rakyat (RMR) agar tidak timbul masalah rumah terbengkalai.
Ini kerana, katanya, di Parit Sulong terdapat tidak kurang 10 aduan mengenai
RMR dengan pelbagai masalah yang menyebabkan ia terbengkalai dan
mendatangkan kemarahan kepada penerima skim RMR terbabit.
''Ia adalah untuk meringankan beban rakyat dan apabila ia terbengkalai
hingga memakan masa bertahun akan menimbulkan rasa tidak puas hati sekali
gus menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri
Gerakan Daya Wawasan Kampung Separap anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Separap dekat sini hari ini.
Seramai 86 orang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang
upaya (OKU), fakir miskin dan anak yatim menerima sumbangan hari raya berupa
beras serta keperluan harian.
Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, ada antara penerima terpaksa
mengeluarkan modal yang banyak untuk membersih dan menambak tapak untuk
membina RMR tetapi terbengkalai menyebabkan mereka mengalami kesusahan.
Tambahnya, terdapat juga penerima RMR yang masih menunggu bila rumah mereka
akan dibina sedangkan tapak rumah telah lama disediakan dan sehingga kini
masih tidak dibina lagi.
"Ada antara mereka yang benar-benar susah dan mengharapkan agar dapat rumah
yang lebih sempurna terutama apabila menjelang hari raya tetapi hampa,"
katanya.
Noraini berkata, terdapat aduan di mana kontraktor yang sepatutnya
menyiapkan rumah tersebut membuat kerja separuh jalan dan kemudian
meninggalkan tapak berkenaan terbengkalai hingga penerima mengalami kerugian.
Katanya, masalah lain yang timbul ialah kesilapan atau tidak lengkap mengisi
borang yang menyebabkan rumah berkenaan tidak dapat dibina mengikut jadual.
Bagaimanapun beliau berharap agar peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta
oleh kerajaan untuk membina RMR mampu membuatkan para penerima berasa lapang
dada dan RMR yang terbengkalai dapat disiapkan mengikut jadualnya.
|