Projek ganggu masjid
16/09/2008 Utusan Malaysia Oleh
Siti Khairulnisah Mohammed Bajuri (Prak)
SUNGAI BULOH 15 Sept. - Sikap sesetengah pemaju yang suka lepas tangan
apabila projek mereka menghadapi masalah bukan sahaja menyusahkan pembeli di
projek tersebut, malah kadangkala tempiasnya terkena kepada pihak yang lain.
Bagi pihak pembeli rumah, mereka mungkin terpaksa berdepan dengan desakan
bank yang mengarahkan mereka membayar ansuran bulan walaupun rumah belum
siap.
Tetapi bagi penghuni yang mendiami sekitar kawasan projek itu, lain pula
kisahnya. Mereka terpaksa menanggung pelbagai masalah yang berpunca daripada
projek terbengkalai itu.
Inilah yang berlaku kepada penduduk Kampung Masjid Sungai Buloh di sini dan
penghuni setinggan yang pernah mendiami kawasan yang kini menjadi tapak
sebuah projek pembangunan bercampur.
Menurut iman masjid kampung tersebut, Harun Man, 71, tapak projek itu pada
asalnya adalah penempatan setinggan yang didiami oleh kira-kira 80 buah
keluarga.
Mereka berpindah keluar dari situ apabila projek itu hendak dibangunkan
beberapa tahun lalu, malah ada yang memberi rumah di situ dan membayar wang
pendahuluan yang dikehendaki.
"Tapak rumah setinggan ini memang agak strategik kerana ia berhampiran
dengan stesen komuter Sungai Buloh yang memudahkan mereka untuk berulang
alik dari rumah ke tempat kerja," katanya.
Beliau berkata, bukan sahaja penduduk setinggan itu dijanjikan kediaman yang
selesa, malah jawatankuasa majis itu juga dijanjikan dengan sebuah masjid
lebih besar bagi menggantikan masjid yang sedia ada.
Malang, tidak lama selepas mereka memulakan projek itu, projek tersebut
terbengkalai dan kontraktornya melarikan diri.
Kini, persekitaran kawasan projek itu bukan sahaja ditumbuhi dengan lalang,
bahkan bangunan yang tidak siap itu juga boleh mengundang masalah sosial.
"Ini yang merunsingkan penduduk sekitar. Bukan itu sahaja, bangunan yang
hanya siap dibina setinggi tujuh tingkat itu juga menjadi tumpuan pengutip
besi buruk bagi mencari rezeki," katanya.
Menurut papan tanda projek, projek itu akan didirikan dengan bangunan 27
tingkat dan akan mempunyai ruang perniagaan, pejabat serta pangsapuri.
Harun berkata, selain tidak mendapat apa yang dijanjikan pemaju, masjid itu
kini terpaksa pula menanggung kesan daripada projek terbengkalai itu
terutama jika hujan turun.
"Masjid ini akan dipenuhi dengan air bila hujan turun dan habis semua karpet
akan basah. Karpet basah itu mengakibatkan ia mengeluarkan bau yang busuk.
"Ini menyebabkan jemaah yang datang di sini merasakan tidak selesa untuk
bersembahyang disebabkan bau itu,'' katanya.
Harun menambah, sudah banyak kali beliau terserempak dengan ular yang
menjalar masuk ke dalam masjid tetapi setakat ini belum ada kes dipatuk ular
dilaporkan.
"Semak dan lalang yang tumbuh di kawasan projek itu serta kedudukan masjid
ini yang dekat dengan projek itu menyebabkan banyak ular masuk ke masjid ini,"
katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke bangunan yang terbengkalai itu mendapati
sekeliling bangunan itu sudah ditumbuhi lalang dan semak serta agak
menakutkan.
Harun juga melahirkan kebimbangannya terhadap risiko tanah runtuh di
bahagian belakang masjid itu disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna.
Katanya, beliau akan mengesan sedikit runtuhan dan berharap pihak berkuasa
datang membuat siasatan sebelum kejadian buruk berlaku kepada masjid itu dan
jemaahnya.
Katanya, masalah itu juga menjurus kepada masalah nyamuk aedes kerana
saliran yang tidak sempurna itu menyebabkan air bertakung di banyak tempat
di kawasan projek itu.
Ketua kampung tersebut, Zulkifli Karim, 53, berkata, beliau kasihan melihat
bekas penduduk setinggan di situ yang terpaksa terus menunggu rumah mereka
yang tidak siap.
Katanya, sudah lebih lima tahun projek itu terbengkalai dan tidak ada
usaha-usaha untuk memulihkannya dilakukan setakat ini.
Zulkifli berkata, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Paya Jaras, Datuk Ir.
Mohamad Bushro Mat Johor pernah campur tangan bagi membantu penduduk dan
mendesak pemaju membangunkan semula bangunan itu.
Bagaimanapun, usaha ADUN itu masih belum memperlihatkan kejayaan menyebabkan
pembeli terus terbeban dengan pinjaman bank yang perlu dibayar, selain
risiko kehilangan wang pendahuluan.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa khususnya Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri dapat bertindak bagi
memulihkan projek itu.
Katanya, pemulihan projek itu bukan sahaja membawa manfaat kepada pembelinya
tetapi juga dapat menyelesaikan masalah yang melanda masjid Kampung Masjid
berhampiran projek itu. |