Penghuni mengeluh rumah kerap
bocor
10/09/2008 Utusan Malaysia
ALOR GAJAH 9 Sept. - Mungkin kebanyakan umat Islam sedang sibuk dengan
persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menghiasi rumah mereka
agar kelihatan cantik dan berseri.
Bagaimanapun, bagi pemilik 12 unit rumah pangsa Taman Bidara Permai,
Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, tiada guna persiapan dibuat
sekiranya rumah mereka terus dilimpahi air hujan setiap kali hujan lebat.
Semuanya gara-gara sikap pemaju yang bersikap lepas tangan terhadap masalah
siling rumah yang bocor sejak didiami pembeli kira-kira setahun yang lalu.
Seorang penghuni rumah tersebut, Mastika Hablum, 31, berkata, setiap kali
hujan lebat, air hujan akan memasuki rumahnya melalui siling yang bocor.
"Sudah setahun berlalu. Setiap kali hujan lebat, macam pesta jual baldi
rumah saya sebab terpaksa meletakkan baldi tersebut di ruang tamu, bilik
tidur dan bilik air.
"Aidilfitri tidak lama lagi akan menjelang, takkanlah bila tetamu datang
nanti keadaannya begini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, kewujudan tiga lubang tersebut di siling rumahnya dikesan sejak
mula mendiami pangsapuri itu pada Jun tahun lalu.
Bagi seorang lagi penghuni, Jalimah Hassan, 49, berkata, pihak pemaju pernah
menampal lubang di siling rumahnya namun tidak bertahan lama dan kembali
bocor beberapa jam selepas itu.
"Lubang yang ditampal itu tahan sehari saja dan bocor kembali keesokan
harinya, malah lubang yang bocor itu menjadi lebih besar selepas hujan lebat.
"Saya harap, pihak berkenaan dapat tampil segera membantu kami kerana
bimbang pemaju tidak akan melayan kami lagi apabila jaminan rumah selamat
didiami tamat Oktober ini," katanya.
Bagi Sirah Sabtu, 38, dia bimbang sekiranya masalah siling bocor itu tidak
diatasi segera akan mengakibatkan kejadian lebih serius sehingga menyebabkan
siling runtuh.
"Justeru saya berharap, ia dapat dibaiki segera sebelum ia melibatkan
kemalangan jiwa," katanya.
Seorang lagi penghuni, Herdawati Tumingan, 31, mendakwa, masalah siling
bocor itu berpunca daripada beberapa bahagian bumbung yang lopong setelah
diterbangkan angin beberapa bulan lalu.
"Mungkin jika bahagian bumbung itu dibaiki semula, masalah ini akan selesai.
Buat apa asyik tampal sedangkan air hujan tetap masuk melalui bumbung yang
bocor," katanya.
|