Penantian 20 tahun pembeli
rumah murah berakhir
07/09/2008 Oleh Opat Rattanachot
SUNGAI PETANI 6 Sept. - Penantian lebih 500 pembeli rumah di Taman Seri
Gedung di sini sejak 20 tahun lalu berakhir apabila projek rumah kos rendah
yang terbengkalai itu berjaya disiapkan Ogos lalu dan diserahkan kepada
mereka secara rasmi pada hari ini.
Seorang pembeli, Ahmad Daud, 53, melahirkan rasa syukur kerana penantiannya
untuk mendiami rumah yang dibeli dengan hasil titik peluhnya tercapai.
Katanya, sebelum ini, para pembeli terpaksa menanggung beban membayar
pinjaman kira-kira RM150 sebulan sedangkan rumah yang dijanjikan pemaju
tidak dapat disempurnakan.
"Projek ini makan masa panjang dan pemaju pun sudah dua kali bertukar tangan.
"Akhirnya, atas keprihatinan kerajaan, projek perumahan yang dahulunya
terbengkalai berjaya disiapkan juga oleh SPNB," katanya ketika ditemui
Mingguan Malaysia di sini.
Ahmad yang merupakan bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata,
penyerahan rumah berkenaan disifatkannya amat bermakna lebih-lebih lagi
menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Projek perumahan Taman Seri Gedung yang merangkumi 234 unit rumah kos rendah
bersaiz 70 X 20 kaki persegi dan 362 unit bersaiz 60 X 20 kaki persegi
dimulakan pada tahun 1987.
Rumah yang ketika itu dijual pada harga RM27,000 dan RM25,000 seunit gagal
disiapkan pemaju ekoran krisis kewangan yang dihadapi sekitar tahun 1988.
Bagaimanapun, hasil campur tangan kerajaan, projek itu diserahkan kepada
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada tahun 2003 untuk dipulihkan
sehingga berjaya disiap dan dikeluarkan sijil layak menduduki (CF) oleh
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada 13 Ogos lalu.
Majlis penyerahan kunci rumah kepada 598 pembeli berkenaan disempurnakan
oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk
Mohamed Taulan Rasul dan Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh
di Taman Seri Gedung, Mukim Ulu Pasir di sini.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Ibrahim Ali, 56, dari Seberang Prai
berkata, dia membeli rumah terbabit dengan harga RM25,000 ketika berusia 36
tahun.
"Memang sebelum ini amat kecewa kerana rumah tak siap. Namun, impian saya
memiliki rumah tercapai juga walaupun ambil masa yang lama," katanya yang
sebelum ini menyewa rumah di Butterworth dengan harga RM260 sebulan.
Dalam pada itu, Mohd. Amin berkata, SPNB masih mencari pembeli rumah projek
terbabit yang tidak dapat dihubungi atau meninggal dunia.
"Mereka boleh datang ke pejabat SPNB wilayah Utara di Tingkat 5, Wisma UMNO,
Lorong Bagan Luar 2, Butterworth atau menelefon di talian 04-3304679,"
jelasnya. |