Mengharap ehsan Syabas
18/09/2008 Utusan Malaysia Oleh
A. Jailani Abdullah
KUALA LANGAT 17 Sept. - Selepas sebulan berpuasa, hari raya tentunya
merupakan hari yang paling gembira dan paling dinanti-nantikan oleh semua.
Namun, kegembiraan itu tidak dirasakan oleh penduduk Fasa 5A dan 5B Saujana
Putra dekat sini yang masih tidak mempunyai bekalan air walaupun rumah
mereka sudah boleh diduduki sejak sebulan yang lalu.
Fasa 5A yang merangkumi 127 buah rumah telah siap pada awal Ogos lalu,
diikuti 110 buah rumah dalam fasa 5B yang kini berada di peringkat akhir
kerja iaitu menurap jalan.
Namun, kata penduduk, rumah mereka masih tidak dibekalkan dengan air bersih
dan berharap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dapat
mempertimbangkan rayuan menyalurkan bekalan air ke kawasan itu dengan segera.
"Kecuali meter air Syabas, meter elektrik dan kabel telefon semua telah siap
dipasang dan sedia untuk digunakan," kata kumpulan pembeli Saujana Putra
Fasa 5A dan 5B sewaktu ditemui Utusan Malaysia di taman perumahan itu di
sini.
Kata mereka, jika Syabas dapat menyalurkan bekalan air sementara dalam waktu
terdekat, mereka amat berterima kasih kerana ia akan menjadikan hari raya
kali ini lebih bermakna.
Bagaimanapun, jelas penduduk itu, bukan Aidilfitri yang menjadi keutamaan
mereka tetapi jika bekalan air diperoleh dalam masa terdekat, ia bermakna
Syabas telah membantu mereka mengurang kos sara hidup.
"Jika sudah ada air, kami sudah boleh berpindah masuk ke sini dengan segera
dan itu bermakna kami tidak perlu lagi membayar sewa rumah dan pelbagai
bayaran lain," kata mereka yang mengakui amat mengharapkan ehsan Syabas.
Mengikut jadual asal, kedua-dua fasa projek itu sepatutnya siap pada 2005
setelah pembinaannya dimulakan pada 2003.
Selepas tergendala akibat pihak pemaju mengalami masalah dan projek terhenti
pada 2005, ia dipulihkan pada November tahun lalu dan siap baru-baru ini.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sementara Pembeli-pembeli Rumah Projek
Perumahan Saujana Putra Fasa 5A, Mansor Ariffin berkata, hanya bekalan air
menjadi masalah kepada pembeli rumah di situ.
Katanya, bagi fasa 5A, pihak pemaju berjanji untuk menyerahkan kunci kepada
para pembeli pada bulan Ogos lalu tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana
ketiadaan bekalan air menyebabkan sijil layak menduduki (CF) tidak dapat
dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat.
"Kami dimaklumkan bahawa pihak pemaju dan pemilik tanah iaitu Permodalan
Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan
Syabas dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai
isu ini.
"Namun, kami juga difahamkan bahawa pihak Syabas tidak boleh meluluskan
perkhidmatan bekalan air sementara selagi tangki air utama tidak disiapkan
pembinaannya," ujar beliau.
Beliau berkata, jika itulah syarat yang ditetapkan oleh Syabas, maka hasrat
pembeli untuk menduduki rumah sendiri dalam masa terdekat tidak akan
tercapai.
"Ini kerana tangki air itu sepatutnya disiapkan seiring dengan siapnya fasa
1 dan 3 yang terletak bersebelahan tetapi kedua-dua fasa itu kini tergendala.
Fasa itu dibina oleh pemaju berlainan dengan fasa kami.
"Kami merayu budi bicara dan ehsan pihak Syabas supaya membekalkan air
secara sementara kepada kami.
"Lagi pun, kami difahamkan bahawa projek perumahan di Bandar Saujana Puchong
yang disiapkan jauh lebih awal telah mendapat bekalan air sementara. Jadi,
kami harap Syabas memberikan ehsan yang sama kepada kami," ujarnya.
Naib Pengerusi jawatankuasa yang sama bagi Fasa 5B, Azhar Ahmad pula berkata,
pembinaan tangki air utama itu telah mencapai tahap 70 peratus sebelum
kerja-kerjanya tergendala.
"Tangki air itu dibina oleh kontraktor projek bersebelahan dengan perumahan
kami ini yang kini terbengkalai dan kami tidak tahu bila ia akan dimulakan
semula.
"Sudah terlalu lama kami berdepan dengan bebanan kewangan... bayaran sewa
rumah, bayaran pinjaman perumahan dan berbagai lagi. Jika bekalan air dapat
dimasukkan ke rumah kami, kami akan berasa cukup lega dan berterima kasih
kepada Syabas.
"Kami dimaklumkan bahawa Syabas bimbang tekanan air di sini rendah jika
tangki air itu tidak disiapkan tetapi penduduk di sini berjanji tidak akan
merungut selagi tangki utama itu tiada," katanya disambut oleh sorak
sebahagian pembeli-pembeli yang lain.
Katanya, apa yang penting, pembeli dapat tinggal di rumah sendiri kerana
sudah tidak tahan menanggung kos sewa rumah yang tinggi.
Menurut mereka, kebanyakan pembeli rumah taman perumahan itu terdiri
daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya dan majoritinya adalah orang
Melayu.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Jawatankuasa itu, Rozida M. Johan berkata,
mereka telah menghantar surat rayuan yang disertakan tandatangan semua
pembeli kepada pihak-pihak berkenaan untuk meminta masalah mereka itu
diselesaikan.
"Kami harap, rayuan kami ini dipertimbangkan sebaik-baiknya. Kami harap
Syabas bersimpati dan melupakan syarat yang ditetapkan demi rasa
perikemanusiaan dan tanggungjawab sosial," rayunya. |