'Mana meter air kami'
09/09/2008 Utusan Malaysia Oleh
Muhammad Dayne Azmin
PUCHONG 8 Sept. - Meskipun sudah memiliki sijil layak menduduki (CF) sejak
lapan bulan lalu, namun 658 pemilik rumah di Taman Puncak Jalil, dekat sini
masih belum mendapat bekalan air bersih yang sempurna.
Mereka tertanya-tanya mengapa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas)
masih tidak memasang meter air di rumah mereka sedangkan wang deposit sudah
lama dijelaskan.
Demi memenuhi keperluan harian, penduduk yang tinggal di Fasa 9D, 9E, 7E,
7D, 9F dan 18 kawasan perumahan itu terpaksa menyambung sendiri bekalan air
ke premis masing-masing secara haram.
Walaupun sudah diberi amaran dan dipotong bekalan berulang kali oleh Syabas,
penduduk akan menyambungnya semula kerana mereka tiada pilihan.
Berikutan masalah yang semakin mendesak itu, Persatuan Penduduk Taman Puncak
Jalil meminta pihak Syabas bertimbang rasa terutama ketika umat Islam sedang
menjalani ibadah puasa.
Pengerusinya, Zainuddin Zainal mendakwa, masalah tersebut berpunca daripada
tangki air utama yang belum diambil alih Syabas daripada pihak pemaju.
"Mengapa kami yang harus menderita sedangkan masalah berkenaan adalah antara
pemaju dengan Syabas,'' katanya.
Seorang penduduk, Zainal Mohd. Isa, 55, berharap bekalan air dapat
disambungkan dengan seberapa segera memandangkan ia adalah keperluan utama.
"Sampai bila saya sekeluarga hendak mengambil air dengan cara sebegini, saya
tahu ia salah tapi apa lagi pilihan yang ada, takkan hendak suruh kami buat
perigi pula,'' katanya.
Dia yang baru tinggal di situ pada empat bulan lepas mengakui sudah tidak
tahan dengan bekalan air yang sering dipotong.
Bagi Vincent Tan, 28, pula, walaupun hanya menyewa di situ, namun dia juga
berhak untuk mendapatkan bekalan air bersih yang berterusan kerana tuan
punya rumah itu sudah membayar deposit yang diperlukan.
"Bosanlah hidup begini, saya pun tidak tahu sampai bila dan bagaimana cara
penyelesaian yang terbaik kepada masalah tersebut agar kami semua boleh
dapat meter air,'' katanya. |