This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kerajaan negeri pulih kompleks terbengkalai

01/09/2008 Utusan Malaysia


JOHOR BAHRU 31 Ogos - Kerajaan negeri akan memberi fokus terhadap usaha memulihkan semula kompleks membeli-belah di bandar raya ini yang pembinaannya terbengkalai atau bankrap bagi mengikis tanggapan negatif rakyat serta pelabur setiap kali berkunjung ke sini.

Setakat ini, terdapat kira-kira 15 kompleks seumpamanya di sekitar bandar raya ini yang terbengkalai sejak pertengahan 1990-an dan keadaan itu menjadikan Johor Bahru sebagai antara bandar raya yang mempunyai paling banyak bangunan komersial tidak berpenghuni di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, usaha itu boleh mencapai kejayaan dengan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta seperti yang dilakukan terhadap Plaza Best World di sini.

Menurutnya, kejayaan menghidupkan semula bangunan itu yang kini dikenali sebagai Kompleks Beli-Belah Danga City membuktikan kerjasama erat kedua-dua pihak berkenaan memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah itu.

"Plaza ini dibuka pada 1996 tetapi hanya beroperasi selama dua tahun berikutan krisis kewangan dan sejak itu, ia terbiar dan menjadi pemandangan yang menyakitkan mata setiap kali rakyat melaluinya untuk ke pusat bandar raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan semula secara rasmi dan melawat kompleks berkenaan di sini hari ini.

Kompleks itu dibuka semula selepas pengurusannya yang baru membeli kompleks berkenaan daripada Danaharta Nasional Bhd. pada 2003 dengan nilai kira-kira RM50 juta.

Premis setinggi tujuh tingkat dan mempunyai lebih 500 lot kedai itu adalah antara bangunan yang memiliki nilai hartanah tinggi ketika ia mula dibuka, dengan kadar mencecah lebih RM3,000 satu kaki persegi.

Abdul Ghani berkata, bagi memastikan pengurusan baru kompleks berkenaan mampu beroperasi semula, kerajaan negeri menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk menghapuskan semua tunggakan cukai tanah dan pintu.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri turut membenarkan jalan masuk baru ke kompleks berkenaan dibina selain yang sedia ada dinaik taraf bagi membolehkan bangunan berkenaan lebih mudah dimasuki pengunjung.

"Pengurusan baru kompleks ini sudah melabur kira-kira RM10 juta untuk menaik taraf bangunan ini, bagi memastikan ia mampu bersaing dengan premis perniagaan sedia ada, sekali gus mampu untuk menarik pengunjung membeli belah di sini," katanya.

Abdul Ghani berkata, dengan pembukaan Kompleks Danga City, ia mampu menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baru dan sebagai tambahan, kontraktor serta pembekal tempatan juga mendapat kira-kira RM30 juta untuk kerja mengubah suai lot kedai.

Beliau berkata, kompleks berkenaan juga adalah premis perniagaan terbesar di bandar raya ini yang menawarkan lebih 500 lot kedai dengan Metrojaya sebagai penyewa utama dan turut menawarkan pelbagai kemudahan lain kepada pengunjung seperti medan selera.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.